KUCHING: Parti DAP Sarawak mengakui sukar untuk calonnya Dr Kelvin Yii merebut kerusi Batu Kawa pada Pilihan Raya Sarawak ke-12(PRN12) kali ini.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, ia kerana kerusi tersebut bakal menyaksikan persaingan sengit empat penjuru yang boleh dikategorikan kerusi panas.
“Kita semua tahu bahawa Batu Kawa adalah kawasan yang agak sukar untuk Dr Kelvin Yii.
“Selain itu, beliau juga terpaksa akur untuk tidak hadir pada hari berkempen kerana perlu melakukan perkara penting yang lain demi negara sebagai anggota barisan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Parti DAP di ibu pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa Dr Kelvin kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dengan Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan cara-cara menangani varian Omicron Covid-19.