DAP tidak konsisten  perangi rasuah

KUCHING: DAP tidak konsisten dalam memerangi rasuah dan hilang kredibiliti kerana gagal memenuhi janji, kata Pengerusi Supp Cawangan Stakan Sim Kiang Chiok.

Katanya, DAP prihatin terhadap kes isteri bekas Perdana Menteri Datin Rosmah Mansor, yang disyaki terlibat dalam projek bekalan solar berskala besar.

“Pada masa sama, ia tidak menepati janji menyiasat semula akaun lama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir selepas mengambil alih kerajaan.

“DAP seharusnya tidak selektif atau sengaja mengubah fokusnya. DAP perlu menjelaskan bila mereka memenuhi janji untuk memeriksa akaun lama Mahathir,” katanya.

Katanya, sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri, pemimpin DAP membuat laporan polis agar siasatan dilakukan ke atas Mahathir yang mendepositkan lebih daripada RM1,194 bilion ke luar negara.

“Malah, Pengerusi DAP Lim Kit Siang pernah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas penglibatan Mahathir sehingga menyebabkan kerugian RM31.5 bilion pertukaran wang asing,” katanya semalam.

Kiang Chiok menegaskan, pendirian mereka menyokong sebarang usaha antirasuah kerana kes penyeludupan panel solar berkenaan masih sedang dalam perbicaraan.

“Kes itu sedang dalam perbicaraan dan biarlah mahkamah yang menentukannya.

“Lagipun, ini projek yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambahnya, seharusnya kes yang menjadi keutamaan pada masa ini adalah kes terowong bawah laut Pulau Pinang yang mahal dan pembelian rumah mewah semasa Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Orang ramai ingin tahu kebenaran berkenaan kes ini. Tetapi DAP cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar,” katanya.

Selain itu, DAP Sarawak juga telah berjanji untuk memberikan 20 peratus royalti minyak, 50 peratus pulangan cukai dan 30 peratus dana pembangunan tahunan dari persekutuan apabila mereka membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

“Sekarang sudah hampir satu setengah tahun mereka (Kerajaan Pakatan Harapan) memerintah namun DAP tidak menghormati setiap janji yang telah mereka buat.

“Setiap hari janji tersebut ditangguhkan, akan menyebabkan orang Sarawak semakin miskin dan orang Malaya semakin kaya,” jelasnya.

Suara Sarawak