‘Dapat duit hari ini, esok saya bina sekolah baharu’

KUCHING: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong merancang memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tesu SK Gahat Mawang dan SK Kujang Sain ke SK Kujang Mawang sebagai model sekolah berpusat di Sarawak.

Namun demikian, katanya penggabungan sekolah kurang murid terletak di Bahagian Serian itu hanya dapat dilaksana jika beliau mendapat dana.

“Sekiranya diberikan dana, saya akan mulakan di kawasan sendiri dengan menutup tiga sekolah dan membina hanya satu sekolah untuk memusatkan sekolah terbabit.

“Kami mengadakan dialog ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementerian sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Manyin juga Adun Tebedu berkata, kos membina sebuah sekolah baru untuk memusatkan sekolah dipindahkan dianggarkan sekitar RM20 juta.

“Kalau dapat duit hari ini, esok juga saya mahu mulakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata Sarawak kini mempunyai terlalu banyak sekolah kurang murid di mana daripada jumlah 1,265 sekolah rendah, 651 buah dikenal pasti sebagai sekolah kurang murid.

Bagaimanapun, katanya walaupun kementerian berusaha mencuba menggabungkan sekolah-sekolah berkenaan, ia seperti tidak mendapat sokongan daripada wakil rakyat.

“Kami sudah menulis kepada mereka dan mengadakan dialog tetapi tidak ada datang dan memberi maklum balas.

“Salah satu sebabnya ialah kerana ibu bapa tidak mahu sekolah anaknya ditutup,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan penggulungan kementeriannya, Manyin berkata berdasarkan anggaran awal, 357 daripada sekolah kurang murid sedia ada boleh digabungkan menjadi 126 sekolah berpusat.

Katanya kriteria penggabungan sekolah termasuk persetujuan dari ibu bapa, ketersediaan tapak, akses jalan, kemudahan asrama termasuk bekalan air dan elektrik.

Beliau menegaskan penggabungan sekolah akan melibatkan jumlah pembiayaan yang besar dan berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan perkara ini dengan baik.