ARTIKEL

Dapat emas palsu, suri rumah rugi RM116,000 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Seorang suri rumah di sini mengalami kerugian RM116,000 selepas diperdaya membeli emas palsu seberat 347.78 gram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia awal 30-an dari Daerah Betong itu menerima emas palsu daripada seorang ejen dropship selepas membuat 20 transaksi pembayaran dalam tempoh lapan hari.

Menurutnya, pada pertengahan Mei lalu mangsa mengiklankan pencarian ejen dropsip di Facebook.

“Selepas sebulan iaitu pada 27 Jun, mangsa dihubungi seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp menyatakan minat untuk menjadi ejen pembelian bagi mencari pelanggan yang ingin menjual emas.

“Justeru bermula 1 sehingga 8 Julai, mangsa yang menggunakan modal daripada seorang kawal telah mula membayar kepada suspek (ejen pembelian) untuk membeli emas.

“Dalam tempoh tersebut sebanyak 20 transaksi pembayaran dibuat membabitkan wang berjumlah RM116,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelasnya, modal berkenaan kononnya untuk membuat tebusan emas di kedai pajak dan membeli emas daripada pelanggan suspek.

Bagaimanapun tambah Azman, mangsa hanya menerima 347.78 gram emas palsu.

“Bungkusan yang mengandungi emas palsu itu dihantar oleh suspek pada 11 Julai menggunakan bas dari Miri ke Kuching.

“Menyedari telah ditipu, mangsa meminta wang dipulangkan semula dan suspek mengaku tidak berupaya berbuat demikian ekoran telah digunakan untuk urusan lain,” ujarnya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan individu tidak dikenali yang menawarkan penjualan emas.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU