Dapat RM5,000 sehari jual air tebu

MUKAH: “Saya pernah meraih RM5,000 sehari selama tiga hari berturut-turut… saya dapat RM15,000. Ketika itu Program Sejiwa Senada di Dataran Pehin Setia Raja Mukah dua tahun yang lalu,” kata penjual tebu popular di Pekan Sabtu Oya, Saidin Rahman, 53.

Selain menjual setiap hujung minggu di Pekan Sabtu Oya, dia juga tidak melepaskan peluang meraih rezeki di tempat lain ketika ada program keramaian.

Menurut Saidin yang dibantu isterinya, dia mampu meraih sekitar RM600 sehari pada hari biasa.

Dengan menggunakan mesin khas ciptaan sendiri, air tebu Saidin mempunyai rasa tersendiri, lebih segar dan enak.

Oleh itu, air tebu Saidin cukup popular di sekitar Oya, Dalat dan Mukah.

“Tebu yang telah dibersihkan akan dimasukkan ke dalam mesin khas dan airnya dikeluarkan dengan menggunakan sistem pam.

“Rasanya lebih segar dan enak daripada air tebu yang dikisar menggunakan mesin biasa di pasaran,” jelas Saidin.

Tanam sendiri tebu di belakang rumah

Saidin mula menjinakkan diri dalam perniagaan air tebu sejak 2010. “Saya pernah tiga tahun menggunakan mesin biasa yang dijual di pasaran, namun agak kurang mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Oleh itu, saya mendapat idea untuk mencipta enjin memproses air tebu sendiri yang lengkap dengan sistem tiub untuk memasukkan air tebu terus ke dalam gelas atau botol sebelum dijual,” katanya.

“Dengan menggunakan mesin biasa, kita memerlukan sekitar enam hingga lapan jam untuk menghasilkan semua air tebu.

“Tetapi dengan menggunakan mesin ciptaan sendiri saya hanya memerlukan dua jam,” ujarnya.

Air tebu Saidin dijual pada harga RM10 sebotol, RM3 segelas plastik dan RM2 untuk secawan.

Dia mendapat bekalan tebu hasil tanaman sendiri di belakang rumah dan membeli daripada pekebun yang lain.

Menurut Saidin, dia bersedia untuk membantu penduduk di sini yang berminat untuk menanam tebu.

Katanya, penjagaan yang rapi dan penggunaan baja yang sesuatu amat penting bagi memastikan kesuburan dan hasil yang banyak.

“S a y a boleh ajar anda dan jika sudah boleh dituai jual semula kepada saya,” katanya.