Dari lembangan ke menara gading

KUCHING: Program Pendidikan Komuniti Penan (PCEP) dikendalikan IPG Batu Lintang sejak 2010 berjaya melahirkan 40 guru daripada komuniti Penan.

Penyelaras PCEP (2010- 2020) Dr Abang Ismail Abang Julhi (gambar) berkata, mereka ditempatkan ke beberapa sekolah berdekatan dengan penempatan komuniti Penan di seluruh negeri ini.

Tambahnya, 20 guru lagi masih menunggu penempatan dan beliau yakin mereka juga ditempatkan berdekatan penempatan komuniti Penan seperti rakan yang lain.

Mengulas mengenai mewujudkan guru kaum Penan, Abang Ismail berkata, idea tersebut timbul pada 1985 apabila data hanya merekodkan seorang sahaja guru Penan dari Long Lamai daripada etnik itu menjadi guru di negara ini.

“Apabila saya melihat tiada komuniti tersebut menjadi guru, timbul rasa inisiatif saya untuk membantu komuniti ini.

“Saya tertanya-tanya mengapa komuniti ini tidak diberi peluang menjadi pendidik sedangkan cara itu boleh mengubah cara hidup komuniti berkenaan?

“Daripada pendidikan, kita dapat naik taraf semangat Penan untuk bergerak dengan lebih maju sama dengan komuniti lain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Justeru melalui, program pendidikan komuniti itu diadakan termasuk satu program ijazah sarjana muda diwujudkan yang memerlukan pengajian selama lima tahun.

“Sasaran kita ialah 100 guru daripada komuniti Penan tetapi sekarang ia menjangkau kepada 120 orang. Ini satu pencapaian yang luar biasa,” ujarnya sambil memberitahu Program Pendidikan Komuniti Penan tamat tahun ini.

Pensyarah Kanan IPG Batu Lintang itu menjelaskan, daripada 120 orang, 60 pelajar masih menuntut di kampus IPG Batu Lintang.

Manakala dari segi jantina, 80 peratus pelajar perempuan menjadi guru berbanding pelajar lelaki. Abang Ismail berkata, dua lagi kampus IPG turut terlibat dalam program ini iaitu IPG Kampus Sarawak Miri dan IPG Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan.