SERIAN: Seramai 250 penunggang menyertai konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka bersama-sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dari Bahagian Serian ke Bahagian Samarahan semalam.
Seusai merasmikan Pusat Persidangan Serian (SCC) sekali gus Pelancaran Pelan Induk Serian di SCC, Abang Johari bersama-sama peserta konvoi berkumpul di hadapan SCC sebelum bertolak ke Pusat Beli-Belah Summer Mall di Samarahan.
Sebelum tiba di Samarahan, konvoi tersebut dijadualkan singgah di Siburan dan Abang Johari berkesempatan meluangkan masa bersama komuniti di sana sebelum bertolak ke Samarahan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil turut memberitahu Abang Johari berhubung perkembangan Klinik Kesihatan Siburan kini sudah 95 peratus siap.
Projek yang dijangka siap penghujung tahun ini bakal memanfaatkan 60,000 hingga 70,000 masyarakat di Daerah Siburan dan kawasan yang berdekatan, katanya.
Sementara itu konvoi tersebut kemudian bertolak ke Pusat Beli-Belah Summer Mall bagi meneruskan konvoi Kembara Sarawak 60 Tahun Merdeka melibatkan Bahagian Samarahan dan tiba sekitar jam 2.56 petang.
Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Bahagian Samarahan telah diadakan bermula 14 hingga 18 Julai selepas berlangsung di beberapa bahagian di Sarawak sejak perasmiannya pada 28 Mei lepas di Lawas.
Pelbagai aktiviti akan diadakan bertempat di Pusat Beli-Belah The Summer Mall selain di daerah lain termasuk Asajaya, Sebuyau, Simunjan, Gedong dan Sadong Jaya.
Perlepasan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Samarahan pada 16 Julai akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada jam 10 pagi.
Dalam pada itu, Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Peringkat Bahagian Samarahan diteruskan pada Isnin (17 Julai) di Simunjan dan Gedong dengan penyerahan bendera Sarawak kepada penduduk setempat selain penyerahan hadiah kepada pemenang pertandingan gasing di Simunjan.
Pada Selasa pula, bakal diadakan penyerahan bendera kepada konvoi bahagian Kuching di Pusat Beli-Belah La Promenade sebagai tanda berakhirnya Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dari Bahagian Samarahan.