KUCHING: Dengan adanya Proklamasi Darurat di Sarawak, Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat ditangguhkan ke tarikh baharu sehingga situasi pandemik Covid-19 di negeri ini reda dan selamat.
Pejabat Ketua Menteri (CMO) berkata, PRN yang sepatutnya diadakan dalam satu tempoh tertentu itu boleh ditunda sehingga keadaan mencapai tahap selamat dengan nasihat pihak kesihatan dan data saintifik.
“Bagi memastikan amalan demokrasi berparlimen mesti dijaga, mandat daripada rakyat Sarawak perlu didapatkan semula sebaik sahaja keadaan pandemik mengizinkan.
“Dengan adanya Ordinan Darurat, maka akan terjamin bahawa mandat rakyat akan diperoleh dengan segera sebaik sahaja keadaan pandemik dapat dikawal,” ujar CMO dalam kenyataan, hari ini.
Kerajaan negeri dalam pada itu memberi sokongan penuh ke atas Proklamasi Darurat dan juga Ordinan Darurat di Sarawak yang akan berkuat kuasa 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.
“Kami menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan dalam memastikan PRN hanya boleh diadakan apabila keadaan pandemik di negeri ini dapat dikawal dan tidak menjejaskan keselamatan rakyat.