Dasar baharu ubah negara daripada pengguna kepada pembangun teknologi – Khairy

KUALA LUMPUR: Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 akan memperhebatkan usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan bagi mengubah negara daripada pengguna kepada pembangun teknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata dengan menyasarkan matlamat menjadi sebuah negara berteknologi tinggi, usaha itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing.

Beliau berkata penyelidikan pembangunan eksperimental akan diperkasakan dengan meletakkan sasaran 50 peratus daripada peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong usaha itu.

“Kerajaan melalui kementerian ini telah merangka dasar baharu yang akan menangani isu ketidakcekapan inovasi, yang mana konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) diperkenalkan dalam dasar ini.

“Satu pendekatan terangkum antara dua sektor utama negara iaitu ‘STI’ dan ‘Ekonomi’ sebagai satu sektor bagi memastikan semua program dilaksanakan melengkapi antara satu sama lain dan berimpak tinggi, seterusnya menjadikan STI sebagai pemboleh daya dalam menangani isu dan cabaran negara,” katanya ketika melancarkan DSTIN 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Innovasi dan Ekonomi (MySTIE) disiarkan secara langsung di laman Facebook kementerian semalam.

Menurut beliau, dasar baharu itu menggariskan enam teras, bersama 20 strategi dan 46 inisiatif mencakupi semua sektor dan ruang kehidupan setiap lapisan masyarakat secara inklusif.

Khairy berkata enam teras tersebut menekankan tadbir urus STI yang responsif, pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) serta penggunaan teknologi tempatan oleh industri, pembangunan bakat STI, pembudayaan dan pengaplikasian STIE serta bagi membawa STI ke peringkat global.

“Kita sedar, usaha pertumbuhan ekonomi berasaskan STI memerlukan kerjasama pelbagai pihak, oleh itu dasar ini menekankan kolaborasi strategik antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat terutamanya dalam pembangunan teknologi tempatan melalui R&D&C&I.

“Ini bagi memastikan STI memberi manfaat kepada semua pihak secara inklusif tanpa ada pihak yang terpinggir… bakat STI yang menjadi tunjang pembangunan negara juga menjadi fokus utama DSTIN baharu,” katanya.

Justeru, Khairy berkata pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa bagi memastikan bakat yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan industri dalam perubahan ekonomi global dan teknologi serba pantas.

Sementara itu, Khairy berkata dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dengan sasaran GERD (Gross Domestic Expenditure on Research and Development) 3.5 peratus pada 2030, sebanyak 10 program lonjakan STIE telah dirangka.

Antaranya mewujudkan Technology Commercialisation Accelerator (TCA), Malaysia Science Endowment (MSE), Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dan penubuhan Pusat Vaksin Kebangsaan yang akan memacu usaha pembangunan teknologi tempatan dan pengkomersialan hasil R&D.

“Hasil R&D yang tidak memenuhi keperluan industri dan tahap pengkomersialan serta pemindahan teknologi rendah adalah antara isu yang telah lama menjadi perbahasan pelbagai pihak khususnya pemain-pemain industri, malah ia turut menjadi antara penemuan utama dalam laporan Bank Dunia.

“Justeru, Rangka Kerja 10-10 MySTIE dirangka khusus oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi menyokong pelaksanaan DSTIN 2021-2030, seterusnya menangani isu-isu tersebut… rangka kerja itu menghubungkan 10 pemacu sains dan teknologi kepada 10 pemacu sosio ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata 30 bidang keutamaan telah dikenal pasti terbahagi kepada tiga iaitu 12 bidang keutamaan yang menjadi penggalak ekonomi, tujuh bidang keutamaan membantu kesejahteraan rakyat serta 11 bidang keutamaan memberi impak kepada kedua-dua aspek berkenaan.

“Saya percaya, penggunaan rangka kerja 10-10 MySTIE ini akan membantu mengukuhkan peranan TCA dalam usaha pengkomersialan apabila bidang keutamaan yang ditetapkan dapat memenuhi keperluan industri, seterusnya memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 131 negara yang berinovatif dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2020 berbanding di tangga ke-35 tahun lepas.

“Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tangga kedua di belakang Singapura, manakala dalam kalangan negara berpendapatan menengah tinggi, kita juga berada di tangga kedua selepas China,” katanya.

Namun, beliau tidak berpuas hati kerana dari aspek kecekapan berinovasi, Malaysia menunjukkan tahap kecekapan rendah kerana menghasilkan output inovasi yang kurang berbanding tahap pelaburan inovasi atau input.

“Keadaan ini berbeza dengan negara-negara ASEAN lain seperti Vietnam, Filipina dan Thailand, yang menunjukkan tahap kecekapan berinovasi tinggi berbanding negara kita kerana mereka menghasilkan banyak output inovasi berbanding input dilaburkan,” katanya.