Dasar Pendidikan perlu mesra pelajar

UMUM sudah maklum bahawa kerusi Menteri Pendidikan kini dipangku Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad setelah Dr. Maszlee Malik mengambil keputusan mengundurkan diri awal bulan ini.

Dr Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik.

Sejak memangku portfolio Menteri Pendidikan, Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata: “Masih banyak maklumat yang sedang ‘dihadam’ beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas memangku jawatan menteri berkenaan baru-baru ini.

Jika melihat kepada kenyataan Perdana Menteri ketujuh, seolah-olah jelas memperlihatkan isu pemakaian kasut sekolah kembali panas. Sebelum ini, isu warna kasut sekolah menjadi perhatian ramai — dengan sesetengahnya mengundang kritikan dan sendaan apabila Dr Maszlee Malik memperkenalkan dasar baharu bahawa pelajar sekolah boleh menggunakan kasut hitam mulai sesi persekolahan tahun ini.

Sementara ia dikuatkuasakan, pelajar dibenarkan memakai kasut hitam atau putih. Namun, kini ia kembali mengundang keresahan ibu bapa apabila Tun Mahathir memberi kelonggaran kepada pelajar untuk memakai kasut tanpa mengambil kira warna.

Ibu bapa sudah menerima baik pemakaian kasut dan stoking hitam yang berkuat kuasa mulai sesi persekolahan awal Januari lalu. Akan tetapi kenyataan terbaharu menerusi surat pekeliling dikeluarkan KPM baru-baru ini yang tular di media sosial mengejutkan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta warga pendidik.

Sepatutnya, isu ini sudah selesai dengan penerimaan ibu bapa, malah anak penulis lebih gemar memilih untuk memakai kasut dan stoking hitam dengan alasan tidak perlu dicuci setiap masa dan jika kotor tidak ketara, berbanding kasut putih.

Apa yang membimbangkan penulis, keputusan Perdana Menteri yang membenarkan pemakaian segala warna kasut, akan menimbulkan budaya baharu dalam kalangan pelajar yang pastinya menggalakkan pelajar untuk bergaya dari segi pemakaian kasut.

Penulis tidak nafikan pemakaian pelbagai warna kasut sekolah yang diputuskan Tun Mahathir akan menimbulkan isu lain. Kemungkinan kelak akan adanya lagi dasar baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia seiring dengan perubahan individu yang memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Biarlah perubahan dasar atau polisi yang dibuat KPM tidak membebankan pelajar termasuk ibu bapa dalam usaha negara melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang mampu menerajui negara suatu hari kelak.

Sesuatu polisi sewajarnya tidak terlalu mencetuskan kontroversi sehinggakan kita banyak membuang masa untuk mempersoalkannya, sedangkan ada banyak lagi isu pendidikan di negara kita yang perlu diubah suai, dipertingkatkan dan diberi fokus yang sewajarnya.

 

Suara Sarawak