Data Anda Masa Depan Kita

KUCHING: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 bermula pada 7 Julai membabitkan semua 40 kawasan seluruh Sarawak dengan tema Data Anda Masa Depan Kita.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menggesa semua rakyat Sarawak supaya bersama-sama memberikan kerjasama kepada pembanci.

“Penduduk diingatkan supaya mereka tidak perlu takut didatangi pembanci.

“Orang awam boleh memeriksa tanda nama dan surat kuasa yang disertakan bersama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perlaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Bangunan Baitulmakmur semalam.

Fatimah memberitahu, bancian diadakan 10 tahun sekali itu amat penting buat penggubal polisi, kerajaan serta kementerian bagi merancang semua aktiviti, program, polisi, intervensi, agihan sumber dan semua perkara berkaitan untuk masa akan datang.

“Semua data maklumat diperoleh penting bagi kita di kementerian, melalui bancian ini jelas semua maklumatnya tepat kerana semua rakyat yang berada di Sarawak setiap satu maklumat isi rumah akan kita peroleh.

“Menjadi hasrat kita untuk membangunkan Sarawak akan tercapai mengikut bukti data sahih dan nyata ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, maklumat kependudukan sangat berguna melibatkan warga emas kerana pada tahun 2025 dianggarkan 16 peratus penduduk di Sarawak akan berumur 60 tahun ke atas.

Menurut Timbalan Pengarah DOSM Negeri Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan pula pelaksanaan Banci 2020 sejajar dengan Resolusi 2020, Program Banci Penduduk dan Perumahan Dunia yang dipersetujui pada 10 Jun 2015 lalu oleh United Nations Economic and Social Council.

“Disarankan sekurang-kurangnya sekali Banci Penduduk dan Perumahan dilaksanakan bagi tempoh 2015 hingga 2024 atau 10 tahun sekali.

“Kali ini negara yang turut menjalankan banci ialah Amerika Syarikat, China, Argentina, Ghana dan Indonesia,” ujarnya.

Jelasnya, objektif utama Banci 2020 adalah untuk mendapatkan stok dan profil penduduk termasuk perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi kecil sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demograi dan sosioekonomi penduduk,” katanya.

Suara Sarawak