Datuk tiri dicekup cuba rogol cucu

KUCHING: Gigitan seorang remaja perempuan menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol datuk tirinya.

Kejadian dilaporkan berlaku di rumah suspek, Taman Matang Jaya di sini sekitar jam 3 petang semalam, ketika pelajar tingkatan dua itu sedang bermain telefon bimbit di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata susulan laporan yang dibuat mangsa semalam, suspek, 58, yang merupakan subkontraktor pembinaan jalan sudah ditangkap hari ini.

Katanya suspek melakukan perbuatan terkutuknya dengan menolak mangsa sehingga terbaring dan terus menarik baju ke paras dada serta meraba kemaluan mangsa.

“Suspek telah mencekup mulut mangsa dengan tangan kiri dan terus menindihnya di atas katil.

“Mangsa meronta-ronta lalu menggigit lengan kiri suspek menyebabkannya bangun lalu beredar keluar rumah tanpa berkata apa-apa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Aidil berkata selepas kejadian, mangsa terus menghubungi ibunya yang sedang bekerja bagi menceritakan mengenai kejadian dan ibunya kemudian membawanya ke Balai Polis Gita untuk membuat laporan.

Menurutnya, mangsa merupakan anak sulung daripada dua adik beradik manakala suspek merupakan datuk tirinya dan mempunyai dua orang isteri.

Katanya semasa kejadian, hanya mangsa dan adiknya yang berumur 10 tahun di rumah manakala neneknya tidak pasti di mana.

Suara Sarawak