KAPIT: Desakan supaya calon daripada komuniti Dayak diangkat sebagai Ketua Menteri sekadar cubaan untuk memainkan sentimen perkauman, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata pemilihan untuk mana-mana calon menyandang jawatan sedemikian sebenarnya dibuat bersandarkan merit.
“Tanpa mengira kaum, seseorang calon yang bakal menyandang tugas sebagai Ketua Menteri Sarawak harus mempunyai kemampuan dan berpengalaman luas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Alexander berkata pembangkang, terutama DAP dan PSB tidak mempunyai calon yang layak untuk diketengahkan.
“Pada saya, ok, kenapa tidak, tetapi ada tak sesiapa calon yang layak dalam kalangan komuniti Dayak ketika ini, sama ada menerusi PSB atau DAP.
“Cuba tengok calon Dayak di Kapit, ada kredibiliti tak? Minta maaf, saya tak nak bersikap kejam, tetapi bila nak angkat seseorang sebagai Ketua Menteri, kena cari calon yang layak,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata GPS mempunyai calon yang layak dan sarat dengan pengalaman luas di peringkat Kerajaan Persekutuan serta mewakili komuniti Dayak.
Jelasnya, Datuk Amar Douglas Unggah Embas yang mewakili PBB dan GPS adalah calon paling layak, sekiranya komuniti Dayak ingin diketengahkan sebagai Ketua Menteri seterusnya.
“Sekarang pemerintahan diterajui Abang Johari Abang Openg dan Datuk Amar Douglas kini dalam barisan pelapis daripada komuniti Dayak untuk diangkat sebagai Ketua Menteri.
“Justeru, saya rasa sudah-sudahlah, jangan berpolitik mengenai isu ini kerana ia sekadar cubaan untuk memainkan sentimen perkauman,” katanya.