
KUCHING: Masyarakat Dayak perlu memanfaatkan aset tanah mereka untuk melaksanakan aktiviti pertanian komersial, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan perlu diusahakan untuk produktiviti yang baik.
“Dalam perkara ini pertanian komersial adalah jawapannya, dan aktiviti pertanian juga mesti menggunakan teknologi moden.
“Ini termasuk menggunakan proses digital dalam usaha kita menghasilkan lebih banyak makanan dan komoditi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Menurutnya dunia kini sedang berhadapan dengan krisis makanan dan jika dilihat dengan keluasan tanah di Sarawak, ia sepatutnya tidak menjadi masalah kepada negeri ini untuk mengeluarkan lebih banyak makanan.
“Ia boleh diatasi selagi kita tahu cara untuk menggunakan tanah kita melalui perancangan struktur dan teknologi moden,” ujarnya.