ARTIKEL

Dr Abdul Rahman (tengah) ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ibadah Korban anjuran Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam Sarawak Energy di Tebingan Sungai Boyan Gersik Sourabaya di sini, hari ini.

DBKU bakal tubuh Majlis Belia, Majlis Kanak-kanak, Majlis Warga Emas selepas Forum Bandar Sarawak, 20-22 Oktober 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Belia, Majlis Kanak-kanak dan Majlis Warga Emas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal ditubuhkan pada bulan Oktober akan datang selepas Forum Bandar Sarawak (SUF).

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, majlis yang diwujudkan secara rasmi itu memfokuskan pandangan, cadangan serta idea bagi pembaharuan dan pembangunan di kawasan utara Kuching.

“Majlis-majlis untuk golongan sasar ini ditubuhkan bagi memastikan kita dapat membentuk forum interaksi langsung antara pelbagai lapisan masyarakat dengan DBKU demi kepentingan bersama.

“Sebagai contoh, Majlis Kanak-kanak DBKU memfokuskan kepada luahan idea, pandangan mahupun cadangan terbaik untuk golongan berkenaan, terutamanya melibatkan kemudahan, seperti taman permainan bersesuaian, kemudahan diperlukan dan banyak lagi,” katanya.

Dr Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ibadah Korban anjuran Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam Sarawak Energy di Tebingan Sungai Boyan Gersik Sourabaya di sini, hari ini.

Ujarnya, inisiatif tentang penubuhan serta hala tuju majlis itu juga akan dibincangkan pada SUF yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober akan datang.

“SUF siri pertama, yang julung kali diadakan di Sarawak, melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, yang dianggarkan melibatkan 1,000 penyertaan.

“Ia diadakan bagi memastikan pembangunan bandar serta pekan di seluruh Sarawak dilaksanakan berdasarkan standard yang disediakan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

“Selain itu, ia memfokuskan kepada usaha untuk mengambil bahagian dalam Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) agar menjadi bandar mesra kanak-kanak, OKU dan warga emas,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujarnya, DBKU juga merancang untuk menubuhkan satu majlis khas yang terdiri daripada ahli akademik.

“Sesetengah bandar raya terlibat ini juga mempunyai majlis akademik yang terdiri daripada golongan intelektual, jadi ini akan kita rancang pada masa akan datang.

“Malah salah satu komponen SUF ada melibatkan perbincangan ahli akademik seperti pensyarah dan sekiranya mereka bersedia, kita akan wujudkan satu forum khas untuk mereka mengadakan interaksi secara berterusan bersama dengan pihak pengurusan DBKU,” jelasnya.

Sementara itu, ujarnya, DBKU merancang untuk berkolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kyoto, Jepun, bagi memantapkan lagi pengurusan bandar, dan pada masa yang sama, memelihara serta memulihara warisan sejarah.

“Inisiatif ini sebahagian daripada Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), yang kini di bawah tanggungjawab DBKU, untuk kita memelihara komponen warisan yang terdapat di kawasan Kuching, khususnya kawasan DUN Satok, Tupong dan Samariang, di samping menjadi bandar pintar,” jelasnya.

Berhubung majlis tersebut pula, beliau berkata ia adalah anjuran Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam Sarawak Energy dan Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai untuk penduduk tempatan dan sekitarnya.

“Secara keseluruhan, pusat khidmat tahun ini menyumbangkan sebanyak sembilan ekor lembu, ditambah dengan lima ekor daripada pihak Sarawak Energy.

“Ini menjadikan keseluruhan sejumlah 14 ekor lembu bagi kawasan Pantai Damai,” katanya lagi.

BERITA LAIN

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya

BERITA TERBARU

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya