KUCHING: Pendatang baharu Regata Sarawak 2022, DBKU Pantai Damai Binladen berazam untuk memberi cabaran terbaik bagi merebut gelaran raja sungai.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan dibarisi gabungan pekayuh muda dan berpengalaman, beliau yakin pasukan yang baharu ditubuhkan itu mampu memberi saingan sengit.
“Kita mampu memberi saingan kepada pasukan lain kali ini.
“Apa yang penting kita perlu bersedia dalam aspek fizikal dan mental agar kejuaraan milik kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dan penyerahan baju kepada pekayuh DBKU Pantai Damai Binladen di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai menjelaskan Regata Sarawak yang merupakan sukan air tertua di Sarawak sudah pasti akan menjadi tumpuan banyak pasukan.
“Kita tidak mahu ketinggalan untuk menyertai regata yang bermula sejak pemerintahan Rajah Brooke ini,” ujarnya.
Menurutnya, Regata Sarawak juga dianggap sebagai ibu kepada segala regata kerana dianjurkan dalam skala besar.
“Setiap pelosok Sarawak sudah pasti memberi perhatian kepada regata ini,” jelasnya.
Regata Sarawak 2022 akan bermula 4 November dengan dimulakan dengan peringkat saringan sebelum diakhiri dengan perebutan Raja Sungai Regata Sarawak pada 6 November.