DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menganjurkan Kursus Bersuara dengan Yakin: Kemahiran Intensif Pengucapan Awam dan Pembentangan selama dua hari pada 9 hingga 10 September lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Kursus berkenaan dirasmikan Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah, dan turut dihadiri timbalan-timbalan pengarah DBKU.
Program itu dikendalikan Mohamad Ariff Irwani Azahari daripada Positive Impressions dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kemahiran komunikasi, pengucapan awam dan pembentangan dalam kalangan ahli Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) DBKU.
Peserta turut didedahkan kepada teknik penyampaian berkesan, pembinaan penceritaan projek berasaskan data, komunikasi visual, pengurusan masa, dinamika pasukan, penghasilan elemen tarikan serta teknik menghadapi sesi soal jawab bersama panel penilai.
Kursus itu menjadi antara persediaan khusus kepada Kumpulan MEKATRIK 7 dari Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur dan Kumpulan K4U dari Jabatan Perkhidmatan Komuniti yang akan mewakili DBKU ke Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 pada 19 hingga 24 Oktober depan.
Pada masa sama, kursus berkenaan turut menjadi platform persediaan kepada tujuh kumpulan KIK yang bakal menyertai Konvensyen KIK DBKU 2026 pada 25 November depan.
Penganjuran kursus itu mencerminkan komitmen DBKU dalam membudayakan inovasi, memperkukuh kompetensi warga kerja serta meningkatkan keupayaan menyampaikan idea dan impak projek secara lebih profesional dan meyakinkan.
DBKU turut menekankan inovasi bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, sebaliknya membudayakan penambahbaikan berterusan demi penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat.






