DBNA bina Asrama Komuniti

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) akan membina Asrama Komuniti DBNA setinggi sembilan tingkat menggunakan geran RM16 juta yang diterima daripada kerajaan Sarawak.

Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik berkata projek itu telah dipersetujui sebulat suara oleh 50 perwakilan sempena Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGA) ke-4 DBNA, semalam.

Katanya para perwakilan yang hadir terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi dan perwakilan daripada 13 cawangan, yang merupakan lebih daripada separuh kehadiran daripada 21 cawangan sebagai mana yang dikehendaki oleh perlembagaan DBNA untuk mengadakan EGA.

“Kerja-kerja membina Asrama Komuniti DBNA, yang merangkumi 96 bilik dan kemudahan lain dijadualkan bermula bulan depan (Mac) dan dijangka siap pada tahun 2023.

“Mercu tanda Bidayuh terbaru ini akan dibina di sebelah dewan serbaguna di ibu pejabat DBNA di Jalan Kumpang, Kuching,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ik Pahon, geran berkenaan adalah yang diserahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 3 September tahun lalu, lapan bulan setelah beliau menjanjikan geran itu semasa sambutan ulang tahun ke-65 DBNA.

Turut hadir dalam EGA tersebut adalah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Penasihat DBNA Datuk Seri Michael Manyin Jawong, setiausaha politik kepada ketua menteri Dr Simon Sinang Bada dan para perunding projek itu.