DBNA lancar video kesedaran Covid-19

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menghasilkan sebuah video kesedaran Covid-19, yang menekankan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah pencegahan membendung penyebaran virus berkenaan.

Disediakan dalam empat dialek utama iaitu Bukar-Sadong, Bidayuh Bau, Biatah dan Salako, video ini dapat ditonton di laman Facebook rasmi DBNA, dan sudah banyak kali dikongsi dalam talian di platform media sosial sejak semalam (13 Februari).

Pelancaran video ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong sempena Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGA) ke-4 DBNA semalam di dewan serbaguna DBNA, di sini.

Manyin, yang juga penasihat DBNA berharap video ini dapat menyedarkan masyarakat Bidayuh terutama yang berada di kawasan luar bandar untuk lebih mengetahui langkah pencegahan Covid-19.

Sementara, Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik berkata persatuan itu memulakan program kesedaran ini kerana banyak kes Covid-19 berlaku di dalam komuniti di kampung-kampung termasuk satu kelompok yang dikesan di Bau.

“Kami bekerjasama dengan “Bidayuh Council of Elders” untuk menghasilkan video tersebut bagi mengingatkan komuniti kami untuk mengikuti SOP dan supaya mereka lebih mengetahui perkara yang mesti dilakukan dan yang mesti dihindari dalam usaha kita memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata DBNA juga sedang membuat perancangan agar video tersebut dapat ditayangkan di TV Sarawak dan klip audionya disiarkan di Bidayuh FM.

Ik Pahon juga menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan video tersebut disiapkan dalam masa yang singkat sejak awal bulan ini, dan juga berterima kasih kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak kerana membenarkan studio mereka digunakan secara percuma untuk sesi rakaman suara.

Tangkap layar bagi video kesedaran Covid-19 yang dihasilkan dalam empat dialek iaitu Bukar-Sadong, Bidayuh Bau, Biatah dan Salako.

Suara Sarawak