Debak tuan rumah SFC 2019

PEKAN Debak dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Futsal Piala Sarawak 2019 (SFC2019) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM24,000.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, kejohanan yang dianjurkan bersempena Karnival Sukan Saberkas Saribas itu akan berlangsung di venue utama Riveria Sport Centre (RSC) Debak, bermula 31 Julai sehingga 4 Ogos depan.

Katanya, pemilihan Debak sebagai tuan rumah merupakan tawaran yang dibuat oleh FAS sekaligus menjadi sejarah apabila kejohanan berprestij itu pertama kali diadakan di Bahagian Betong iaitu di Pekan Debak.

“Sekaligus, menunjukkan kepercayaan badan bola sepak utama Sarawak terhadap komitmen pasukan penganjur yang dilantik.

“Saberkas Cawangan Saribas merupakan penganjur utama dengan kerjasama BDFA, FAS dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Saribas selain Kelab Sukan dan Rekreasi Laser Light (KSRLL) selaku pengelola utama kejohanan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Saberkas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Rekreasi Saberkas bercakap demikian ketika ditanya Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya, SFC2019 menyediakan dua kategori pertandingan iaitu lelaki dan wanita.

“Bagi setiap kategori, juara akan membawa pulang RM5,000 manakala naib juara memenangi RM3,000 serta tempat ketiga bersama meraih RM2,000… secara keseluruhannya sebanyak RM24,000 hadiah wang tunai menjadi rebutan,” ujarnya.

Jelasnya, penganjuran SFC2019 di Debak bakal membuka peluang kepada penduduk di sekitar untuk menyertainya walaupun ia terbuka kepada pemain-pemain dari setiap bahagian Sarawak.

“Saya yakin ramai pemain handalan serta peminat sukan futsal berkampung di Debak pada masa itu bagi merebut hadiah lumayan yang ditawarkan serta piala berprestij untuk dibawa pulang,” jelasnya.

Jelas Razi, bersempena Karnival Sukan Saberkas Saribas yang berlangsung pada masa yang sama, beberapa acara lain turut diselitkan antaranya pertandingan badminton, sepak takraw, ping pong, tarik tali, gerai jualan serta pameran oleh agensi kerajaan dan swasta.

Sementara itu pengerusi KSRLL Debak Saiful Hanizam Suhaini menyifatkan ia cabaran bagi KSRLL Debak ekoran SFC2019 merupakan edisi sulung ia dikendalikan sepenuhnya oleh pihaknya sebagai pengelola utama.

Katanya, beberapa perkara baru akan diperkenalkan dalam edisi kejohanan tersebut sebagai penanda aras dan usaha terbaru dalam membangun serta memartabatkan sukan futsal di Sarawak.

Menambah lanjut, tarikh tutup penyertaan ialah pada 7 Julai dan sesi taklimat serta cabutan undi turut diadakan pada hari yang sama bertempat di Dewan Lakid Debak kira-kira 9.30 pagi. Semua pengurus dan jurulatih pasukan dikehendaki hadir.

Sehingga kini, 24 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dan pihaknya menyasarkan untuk mencapai 48 penyertaan yang akan menghangatkan kejohanan itu nanti.