Debaran dan jangkaan Belanjawan 2021

MATA dan telinga marhaen pasti tertumpu di parlimen esok, bagi menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, oleh Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia.

Tidak seperti pembentangan belanjawan pada tahun-tahun sebelumnya, pembentangan esok menjadi penentu dan hala tuju negara, dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi terburuk sejak merdeka.

Di sisi yang lain, Belanjawan 2021 turut menjadi pengukur kepada prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang dibentuk pada awal Mac 2020.

Dalam kedudukan Kerajaan PN yang mempunyai majoriti tipis di Parlimen, pasti bukan sesuatu yang mudah bagi blok pembangkang, untuk menyokong usul pembentangan Belanjawan 2021 kelak.

Tambahan pula, terdapat usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, disenaraikan dalam sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen kali ini.

Justeru, ramai yang berpandangan bahawa Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan esok, menjadi penentu kelangsungan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN.

Pun begitu, dalam situasi negara yang masih berdepan dengan masalah Covid- 19 dan kemelesetan ekonomi, tindakan yang boleh menggagalkan usul Belanjawan 2021, tentu sesuatu yang tidak dapat diterima oleh rakyat.

Jangan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik, kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara diperjudikan.

Seharusnya pada waktu sebegini, ahli-ahli Parlimen yang telah dilantik wajar menanggalkan baju politik, dan bersama-sama dengan kerajaan dalam mencari jalan terbaik untuk mengurangkan bebanan hidup rakyat.

Rakyat juga sudah bosan dengan politiking yang tidak berkesudahan, yang hanya menguntungkan pihak yang berkepentingan.

Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 28 Oktober 2020 kepada ahli Dewan Rakyat, iaitu agar memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021, wajar ditaati dan dijunjung di atas jemala.

Bagi marhaen, menolak usul Belanjawan 2021 yang dibentangkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, adalah satu penderhakaan.

Kendatipun begitu, ini tidak bermakna ahli-ahli Parlimen tidak boleh berhujah secara bernas, bagi tujuan penambahbaikan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 nanti.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana, parlimen merupakan medan untuk perbahasan dan pembangkang perlu berfungsi sebagai semak dan imbang dalam semua dasar-dasar kerajaan.

Dalam membicarakan Belanjawan 2021, tentu banyak perkara yang diharapkan oleh marhaen daripada pihak kerajaan.

Perkara pertama, tentunya berkaitan dengan usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Penetapan hala tuju ekonomi negara penting, bagi membina semula keyakinan pasaran, terutama dalam kalangan pelabur asing.

Kemasukan pelaburan asing ke negara ini, berupaya memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan menggalakkan kitaran ekonomi domestik.

Sehingga Oktober 2020, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah merekodkan sebanyak 90,470 kes kehilangan pekerjaan, bagi permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat, khususnya bagi pekerja dalam sektor pelancongan dan penerbangan.

Sehubungan itu, penawaran peluang pekerjaan pada masa kini, pasti menjadi sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang telah diberhentikan.

Justeru, dalam belanjawan kali ini, marhaen berharap pihak kerajaan dapat mengemukakan kerangka bagi menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain daripada itu, marhaen turut berharap agar kerajaan dapat menyalurkan pelbagai insentif kepada golongan yang mudah terjejas akibat penularan Covid-19.

Mereka ini terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, gelandangan, orang kelainan upaya serta golongan miskin tegar di seluruh negara.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), golongan ini antara yang terjejas sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan.

Di samping itu, insentif tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), wajar diteruskan dengan jumlah yang lebih besar, khususnya kepada golongan B40.

Begitu juga dengan insentif komputer riba dan data Internet, kepada pelajar sekolah dan mahasiswa di universiti, yang kini terpaksa belajar dari rumah.

Bagi menambah baik fasiliti kesihatan di negara ini, peruntukan yang lebih besar wajar disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Begitu juga dengan pemberian insentif tunai, kepada petugas barisan hadapan yang telah berjuang melawan Covid-19 sejak Mac lepas.

Di Sarawak, fokus Belanjawan 2021 pasti lebih terarah kepada memperkukuhkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek pembangunan.

Antara projek pembangunan terpenting yang wajar disegerakan, ialah pembinaan jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas. Projek ini wajar dilaksanakan segera, agar kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Limbang dan Lawas dapat dikurangkan.

Tambahan pula, sampai bila penduduk di dua buah daerah ini perlu bergantung kepada jalan raya milik negara jiran, yang kini telah mengenakan pelbagai peraturan dan bayaran kepada rakyat Malaysia.

Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan esok seharusnya bersifat inklusif dan menyeluruh.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab ahli Dewan Rakyat, dalam memastikan belanjawan kali ini bukan sekadar gula-gula politik untuk meraih populariti, namun diluluskan demi membela kebajikan rakyat.

Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak