Debat atasi kekeliruan?

PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Artikel 16 Perlembagaan Sarawak pada Persidangan Dun Sarawak minggu lepas sudah pun selesai, dan telah pun diluluskan.

Dua pertiga ahli Dun menyokong pindaan rang undang-undang tersebut.

Ini setelah Adun daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Masing-masing mengemukakan cadangan dan pandangan, kritikan terhadap pindaan tersebut.

Difikirkan setelah diluluskan maka semuanya sudah selesai tetapi sebaliknya yang berlaku apabila ia dijadikan isu hangat di luar Dun.

Lebih menarik apabila PSB yang diketuai Datuk Seri Wong Sooh Koh mengajak perdebatan di luar Dun.

Beliau mencabar Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berdebat, dan disambut pula oleh Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang mewakili presidennya untuk menjelaskan mengenai pindaan tersebut.

“Saya terbuka untuk merebut peluang berdebat dengan Wong Soon Koh, Adun Bawang Assan sejak 1991,” katanya pada Isnin.

Dalam temu bual dengan Suara Sarawak, Michael berpandangan debat itu membolehkan orang ramai melihat dengan lebih jelas mengenai pindaan dalam RUU itu.

Bagi Pengerusi SUPP Stakan Datuk Sim Kiong Chiok pula masa paling sesuai untuk debat tentang RUU adalah semasa Persidangan Dun lepas, iaitu sebelum diluluskan oleh Dun.

Tanya Kiong Chiok; “Mengapa perlu sekarang mereka mencabar? Mengapa perlu membazir dakwat dan kertas untuk membuat jemputan agar membahaskan perkara ini dan membazir data Internet telefon bimbit kita?”

Pindaan yang mendapat sokongan dua pertiga Adun itu jelas untuk menjaga hak Sarawak terutama dalam aspek kelayakan individu yang dibolehkan bertanding dalam pilihan raya negeri, seterusnya dilantik sebagai Adun. Sudah dijelaskan, individu bukan anak jati Sarawak tidak menjadi calon dalam pilhan raya negeri, dan dilantik sebagai Adun.

Namun ini dikatakan tidak lengkap oleh blok pembangkang, yang hanya akan mengelirukan rakyat. Seperti kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dakwaan yang dikatakan oleh pembangkang adalah bohong dan bertujuan mengelirukan rakyat agar mereka (rakyat) berasakan ada kesilapan dalam penggubalan RUU itu.

Ini harus dielakkan kerana pindaan itu sudah jelas mengatakan hanya anak jati Sarawak yang layak, bukan orang Semenanjung, Sabah, Labuan atau dari luar negara.

Sepatutnya semua pihak perlu memastikan rakyat faham akan pindaan dalam RUU tersebut, bukan untuk mengelirukan rakyat.

Biar pihak yang faham sahaja menjelaskan hal ini. Jika melibatkan banyak pihak, ia mungkin mengelirukan.

Ini harus disokong demi menjaga hak Sarawak, bukan sebaliknya, terus dijadikan modal untuk mengadakan debat yang hanya membazir, sedangkan banyak isu yang harus diatasi lebih-lebih lagi ketika negeri ini masih berdepan dengan penularan Covid-19.

Persoalannya perlukah lagi debat jika ia sudah diperdebatkan dalam Persidangan Dun, dan kemudian diluluskan untuk diterima pakai selepas ini?

Suara Sarawak