Dekorasi pangsapuri kejutan untuk Pandelela

KUCHING: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong merakamkan syukur dan terima kasih kepada Tenaga Stabil Sdn Bhd kerana menghadiahkan seunit pangsapuri di P’Residence di Jalan Batu Kawa di sini.

Ia sebagai meraikan kejayaan bersejarahnya mengutip pingat perak dalam Sukan Olimpik di Rio de Jeinero, Brazil.

Pandelela menerima kunci rumah daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa pelancaran Blok Pandelela di P’Residence di sini semalam.

“Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan hadiah sebesar ini.

“Namun, pihak pengurusan Tenaga Stabil Sdn Bhd gigih mempersiapkan kediaman baharu untuk saya,” katanya.

Pandelela juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana sentiasa memberi sokongan kepadanya sejak menceburkan diri dalam sukan tersebut.

“Sokongan dan kepercayaan rakyat Sarawak mendorong saya untuk sentiasa bersemangat mencipta kejayaan dalam sukan tersebut,” katanya.

Mengenai dekorasi pangsapuri tersebut, beliau melahirkan rasa gembira dan puas hati.

“Saya diberikan kejutan yang menarik kerana pada awal dekorasi yang ditunjukkan kepada saya berbeza.

“Tetapi apa yang disiapkan pada hari ini, sangat lain daripada yang lain,” ujarnya.

Suara Sarawak