ARTIKEL

Demi Ayah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ZAID MD SAMAN dilahirkan di Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka. Beliau lulusan Ijazah Sarjana, kini menetap di Daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Pesara pendidik ini berkhidmat sebagai penjawat awam selama 35 tahun. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru, pensyarah dan pentadbir.Kini, beliau menjadi usahawan dan mengisi masa sebagai pengarang karya kreatif.Beliau masih bergerak ke sekolah memberi ceramah dan mengendalikan bengkel penulisan karya kreatif.Antara karya beliau ialah novel Nona Marina, Di Persimpangan Kasih, Korban Kasih, Musim Bunga Cinta, Sahabat Alam dan Hijrah. Beliau menulis sekitar 50 cerpen dan lebih 40 sajak beliau tersiar dalam pelbagai media. Beliau turut banyak memenangi hadiah karya sastera pelbagai peringkat peraduan.Novel beliau Wangi Warisan 2017 dinobatkan sebagai novel terbaik menerima Anugerah Buku Negara 2019.

CIKGU Auf sangat gembira kerana dia berjaya membeli tiket kapal terbang untuk balik bercuti di kampung halamannya di Tanjung Bidara, Melaka.

Kali ini dia menempah tiket lebih awal walaupun cuti semester sekolah sebulan lagi menjelma.

Wang simpanan yang ada digunakan buat membeli tiket walaupun harganya mahal daripada hari-hari biasa.

Biasanya tika cuti sekolah, harga tiket naik melambung kerana warga dari tanah besar Semenanjung dan dari wilayah Timur berebutan membeli tiket untuk melancong.

Cuti semester yang lepas, Cikgu Auf kempunan membeli tiket kerana tiket penerbangan habis dijual.

Dia tidak mahu keadaan ini berulang lagi.

Berita gembira ini bukan sahaja dikhabarkan kepada ibu bapa dan keluarga di kampung, tetapi turut disebut dalam kalangan rakan setugas dan anak-anak didik di sekolah dia bertugas.

“Auf, sudahkah tiba musim durian di Kuching tu?”

“Kenapa pulak ayah?”

“Bukankah Auf pernah bercerita tentang keenakan isi durian tembaga yang datang dari kawasan kampung di sana.”

“ Ayah nak merasa ke?” “Sudah tentulah anakku.

Jika keenakan isi durian di Melaka dan di Semenanjung, ayah pernah rasa. Ayah nak rasa juga keenakan isi durian tembaga dari bumi tempat Auf mengajar tu.”

“Tapi ayah…” “Tapi apa anakku?”

“Kan peraturan penerbangan tidak membenarkan penumpang membawa makanan atau buah-buahan berbau seperti, cempedak, durian, nangka dan sebagainya.

Jika ada yang membawa, makanan itu akan dirampas.”

“Oh begitu ya Auf?” “Ya ayah…”

Beberapa malam menjelang seminggu lagi, Cikgu Auf terbang balik ke kampung, hampir seluruh bandar kuching diserang bau harum semerbak raja buah.

Dia mengambil kesempatan menikmati keenakan isi durian tembaga terutama yang dibawa dari kawasan Pasir Pandak, Santubong, Serian, Seri Aman dan tempat lain.

Biasanya dia ke bandar Kuching bertemu penjual durian bersama-sama rakan setugasan, anak didik yang rapat dengannya dan ada ketikanya Koperal Mokhtar dari Kem Polis Hutan Batu Kawa, turun Kuching, membeli buahbuah durian yang harganya semakin murah.

Baca lain  HARGAI SEBELUM HILANG

“Auf, jadi ke minggu depan kaubalik kampung kita?”

Koperal Mokhtar bersuara memecah keheningan malam yang terus riuh dengan suara jeritan si penjual buah pemanas itu dan suara peminat raja buah yang cuba tawar-menawar dengan harga yang ditetapkan si penjual.

“Jadilah geng. Tiket kapal terbang telah dibeli. Keluarga di kampung hanya menanti kepulanganku.

Ada nak kirim apa-apa ke?”

“Emm… kirim salam ajalah.

Mungkin ada ikan terubuk masin nak kukirimkan buat ayah dan ibu serta tunang aku di kampung ya. Boleh kan Auf?”

“Insya-Allah, boleh… sebab ikan terubuk masin itu bukan barang larangan dibawa.

Lagipun, tak berat pun.

“Terima kasih Auf.”

“Jom kita pekena durian dari Bau pulak. Lazat juga isi durian tembaga dari sana tu.”

Cikgu Auf dan Koperal Mokhtar menjinjit beberapa biji durian yang dibeli dari Pak Kamri yang juga anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Tun Openg.

Sambil menikmati keenakan isi durian tembaga dari Bau, dua sahabat itu terus berbual.

“Ini air minuman dalam botol yang aku beli tadi. Kita amalkan petua orang tua-tua yang mengatakan air takungan dalam kelopak kulit durian boleh mencabut kepanasan buah durian daripada badan kita.”

BALIK KAMPUNG

Cikgu Auf mencurahkan air ke kelopak kulit durian yang isinya sudah terbenam di dalam perut mereka berdua.

“Bulan hadapan aku akan balik kampung, melangsungkan majlis pernikahan aku dengan tunangan, Si Rainah,” Koperal Mokhtar merenung jauh seketika ke arah Istana Antik Rajah Brooke yang terletak di seberang Sungai Sarawak.

“Tahniah ya geng. Selamat menjadi raja banyak hari kuucapkan.

Cuma, maaflah kerana aku tak dapat meraikan majlis bahagia kau tu nanti sebab mana aku boleh balik selalu.

Kering terus poket aku nanti.

Kau pun tahu berapa sangatlah gaji aku sebagai pendidik berkelulusan STP.

Kau cadang bawa Si Rainah ke Kem Batu Kawa nanti ke?” “Mestilah.

Takkan nak berpisah jauh.

Nanti jika ada waktu lapang, datanglah ke kuarters aku ya.

Boleh pekena lauk sedap yang dimasak Rainah.

Emm… kau bila lagi nak cari peneman tidur Auf?”

“Insya-Allah sahabat.

Belum sampai serulah.

Jika ada jodoh, dengan puteri Kampung Sinjan, pun okey.

Aku pun terasa kesunyian juga.

Kaudoakan ya.”

Koperal Mokhtar tersenyum meleret.

“Barang yang aku nak kirim ke kampung, akan aku hantar terus ke lapangan terbang, hari kaubalik nanti ya. Ringan aja.

“Kotak kecil yang termuat beberapa ekor ikan terubuk masin yang disiapkan oleh penjual ikan terubuk masin di tepi sungai kat Pangkalan Kampung Boyan.

Baca lain  Merandau Ruai Gawai

Aahh… budak muda yang menjual ikan terubuk masin itu kata, dia anak murid kau.”

“Wah… beruntunglah kau dapat diskaun?”

“Ya. Dengan menumpang aura nama kau aku dapat hadiah lebih seekor ikan terubuk masin.”

“Koperal, aku nak tanya pendapatkau.

Jika aku bawa balik isi durian tembaga terpilih, balik ke Melaka, okey ke?”

“Em… mana boleh.

Isi durian tu berbau kuat.

Gasnya kuat dan boleh meletup dalam pesawat nanti.”

“Ayah aku dan ahli keluarga aku nak merasa sangat keenakan isi durian tembaga Bumi Kenyalang kita ini.

Aku akan usahakan cara membawa isi durian ini di dalam pesawat tanpa dikesan oleh petugas di lapangan terbang dan petugas pesawat nanti.”

BISIKAN

“Macam mana caranya Auf?”

Cikgu Auf segera merapatkan mukanya ke telinga Koperal Mokhtar dan membisikkan sesuatu.

“Mungkin boleh lepas.

Jika tak lepas, rugi ratus ringgitlah kau Auf.” “Insya-Allah.

Kita doakan usaha aku itu nanti berjaya ya.”

Sampai ketikanya untuk terbang, Cikgu Auf sudah berada di terminal.

Ketika pemeriksaan beg dan bagasi penumpang di lapangan terbang, dia turut beratur melalui laluan pemeriksaan.

Pemeriksaan ketika itu tidak ketat. Tangan Cikgu Auf hanya menolak beg besar melalui mesin pengimbas.

Tin biskut besar yang mengandungi plastik berisi isi durian tembaga pilihan yang dibeli malam tadi, terus dijinjing bersama kotak kecil yang mengandungi ikan terubuk masin yang dikirim oleh Koperal Mokhtar.

“Apa dalam tin itu encik?

Boleh kami tengok…,” wanita petugas keselamatan di ruang pemeriksaan terakhir, bersuara sebelum membenarkan dia dan semua penumpang bergerak ke dewan menunggu waktu penerbangan ke Lapangan Antarabangsa Senai, Johor berlepas.

“Tak boleh cik.

Tin ini sudah digam ketat. Memang tak boleh dibuka.

Hanya kuih-kuih raya.

Biarlah saya jinjing terus, bimbang biskut oleh-oleh ini rosak.

Petugas wanita itu menghadiahi Cikgu Auf dengan senyuman sangsi.

Ketika tiba di pintu pesawat, Cikgu Auf ditegur lagi Paramugari manis menegur juga.

“Apa barang di dalam tin tu encik?

Nampak berat.”

“Barang biasa saja cik.

Kuih raya istimewa dari Bumi Kenyalang.

Oleh-oleh dari sini untuk keluarga di kampung di Melaka.”

“Emm… Melaka? Negeri Bersejarah tu.

Boleh saya ikut em…” “Auf.

Cikgu Auf..” ringkas sahaja “Boleh Cikgu Auf?” “Boleh, tak salah pun.

Nak terus ikut saya naik pelamin pun boleh. Asal sudi jer.”

Mereka berdua tergelak.

Paramugari cantik yang masih muda menghadiahkan senyuman menusuk jiwa ke muka Cikgu Auf sehingga Cikgu Auf tiba di kerusi yang tertera nombor tempat duduknya.

Baca lain  Menangani kemarau Kreativiti berdasarkan pengalaman

Tin sensitif yang mengandungi isi raja buah terus berada di pangku cikgu Auf.

Tidak diletakkan di rak di atas kepalanya kerana pergerakan yang banyak menyebabkan isi durian yang bergas itu akan bertindak.

Cikgu Auf arif, jika keadaan buruk berlaku disebabkan oleh penghuni tin sensitif itu menyebabkan bukan sahaja tinnya dirampas, malah dia akan didakwa…

Cik Salmah, paramugari cantik yang berasal dari Kampung Sinjan, yang mula menaruh hati pada Cikgu Auf kerap melintas di hadapan Cikgu Auf. “

Cikgu Auf, tak penat ke pangku tin kuih-kuih itu?

Berilah pada saya, biar saya simpankan di rak yang lebih luas dan selamat.”

“Tak apa Cik Salmah.

Biarlah saya pangku terus.

Kapal terbang pun dah nak mendarat.

Nanti senang saya bimbit terus ke terminal.”

Entah kali ke berapa Cikgu Auf berbohong. Demi ayahnya, dia sanggup berbohong.

Hajat hati ayahnya, Haji Zaman dan seluruh ahli familinya mesti dilunaskan.

Mereka semua ingin merasa keenakan buah pemanas dari Bumi Kenyalang.

“Alhamdulillah, pesawat mendarat. Bala membawa tin hikmat itu dari Bumi Kenyalang sudah lepas.

Amin…Amin… Amin… Ya Rabbal Alamin. Syukur.

Cuma satu halangan yang tinggal.

Ketika keluar dari pintu terminal nanti, lalu di hadapan pegawai kastam, jangan sampai isi durian tembaga ini memberontak dan mengeluarkan baunya.

Jika berlaku, matilah aku..” Kaki Cikgu Auf pantas melangkah ke pintu pesawat dan terus menuruni tangga pesawat.

Tangannya sempat menyambar kertas kecil yang diberikan oleh Cik Salmah. 

Kertas itu terus dimasukkan di dalam poket bajunya.

Ketika berehat malam di rumah abangnya nanti di kampung Kastam, barulah dia akan membuka lipatan kertas kecil itu dan ingin mengetahui apa cacatan termuat di atas kertas kecil itu.

SELAMAT

“Alhamdulillah, selamat.”

Semua penghuni kereta Volvo milik abangnya, yang turut menjemput Cikgu Auf di Lapangan Terbang Senai menyapu telapak tangan ke muka sebagai tanda bersyukur, Cikgu Auf dan tin hikmat selamat berada di bonet kereta abangnya.

Setiba di rumah abang Haji Khalid, Cikgu Auf terus menarik tin yang berpelekat kukuh kerana ingin melihat penghuni di dalamnya.

Dia berdoa semoga isi durian tembaga itu belum masam lagi dan masih boleh dimakan mentah atau dimakan bersama-sama nasi bersantan.

Belum menjadi tempoyak lagi.

Beberapa kali Cikgu Auf sujud syukur.

Tangannya terus menyeluk plastik di dalam tin biskut itu dan mengambil seulas durian yang berwarna keemasan dan menyuapkan ke mulut ayahnya.

“Alhamdulillah… Demi ayah.

Aku sanggup berkorban apa saja.

Malam itu, Cikgu Auf bermimpi dia bersanding di pelamin, beristerikan paramugari cantik, puteri dari Kampung Sinjan.

BERITA LAIN

Selamat tinggal, perempuan berambut putih

CLAYTON ROBERT bertugas Sebagai Pembantu Penguat Kuasa di Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak. Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia,

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

Sanggar Puisi

HARUMAN RAMADAN Hirupan mewangi akrab bersama alunan suci Rempah taqwa membalut diri Ujian menahan nafsu Sepurnama Ramadan hadir Maghfirah diburu insani Mawaddah iqra itulah penyeri

Oyeng dan lelaki berwajah Bonoba

AWANG JOHARI JULAIHI menggunakan nama pena: Johari A. Julaihi, berasal dari Simunjan dan menetap di Kota Samarahan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,