Demi kepentingan negara dan rakyat

MIRI: Kesejahteraan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan rakyat negeri ini – itu pendekatan yang diambil oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam berdepan dengan kemelut peralihan kerajaan.

Katanya, Kerajaan Sarawak mendahulukan kepentingan rakyat negeri ini dan menjamin, apa sahaja keterlibatan GPS dengan dalam isu peralihan kerajaan tidak akan mengorbankan hak rakyat.

“GPS akan mendahulukan rakyat negeri ini. Saya memberi jaminan bahawa apa-apa keputusan yang diambil oleh Kerajaan Sarawak adalah untuk kepentingan negara namun ia tidak sama sekali mengorbankan hak yang kita perjuangkan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majis Amanat Perdana Integriti (MAPI20) Integriti Pemangkin Pembangunan di sebuah Hotel Pullman di sini, semalam.

Abang Johari berkata, GPS akan mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Yang diPertuan Agong untuk menamatkan kemelut politik negara berdasarkan Perkara 40 (2)(a) dan (b), Perkara 43 (2)(a) dan Perkara 55 (2) yang dibaca bersama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mempunyai kebimbangan yang paling tinggi terhadap kestabilan politik bagi membolehkan negara terus bergerak ke hadapan. “Negara kini menghadapi masalah ekonomi yang timbul akibat ketidakpastian kepimpinan negara ditambah dengan isu wabak Covid-19. Dua perkara ini mesti ditangani bersungguh-sungguh dan pantas,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan dengan keputusan GPS yang sebulat suara menyokong Tun Mahathir, Abang Johari menjelaskan, Agong melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, jadi sokongan itu bertujuan supaya tidak timbul sebarang kekacauan di negara ini. “Sekarang ini, paling penting ialah kestabilan negara dan rakyat mesti didahulukan,” ujarnya.

Suara Sarawak