Denda ibu bapa tidak pasang kerusi keselamatan

SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak masih belum mengeluarkan saman atau kompaun kepada ibu bapa yang tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi membawa anak kecil di dalam kenderaan di jalan raya negeri ini.

Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, pihaknya sudah diarahkan untuk memberikan kesedaran mengenai penggunaan kerusi terbabit secara advokasi selama enam bulan lagi.

“Ibu bapa yang ada membawa kanak-kanak dalam kenderaan.

Jadi JPJ akan mengedarkan borang kepada mereka sebagai memberikan peringatan.

“Tiada saman ataupun kompuan dikeluarkan sehingga Jun tahun ini,” katanya ketika melancarkan Ops TBC 2020 Peringkat JPJ Sarawak di sini semalam.

Mohd Syafiq menjelaskan, pada Jun depan JPJ akan menguatkuasakan penggunaan kerusi itu dan kompaun akan dikenakan bagi ibu bapa yang ingkar.

“Antara kadar kompaun dicadangkan antara RM300 hingga RM1,000,”katanya.

Beliau berharap ibu bapa di negeri ini mula memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dan mematuhi peraturan mengenai penggunaannya seperti yang ditetapkan JPJ.

“Ia sepatutnya mula dikuatkuasakan 1 Januari tahun ini. “Perkara ini diluluskan kabinet dan Kementerian Pengangkutan melalui peraturan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar)(Pindaan) 2019 pada Disember lepas,” katanya.

Suara Sarawak