Denda RM2000 gara-gara tunggang motosikal dalam keadaan mabuk

KUCHING: Seorang lelaki didenda RM2,000 atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, di sini, semalam.

Suspek, 23, yang mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret, Zaiton Anuar dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, terdahulu, suspek ditahan hasil pemeriksaan Ops Mabuk yang dijalankan pihak polis di Jalan Tabuan sekitar jam 2.09 pagi pada 29 September 2019.

Jelasnya, ujian hembusan nafas menggunakan alat SD-2+ dijalankan ke atas tertuduh telah menunjukkan keputusan positif.

Tambahnya, suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk menjalani ujian hembusan nafas menggunakan alat Lion Alcolmeter EBA-II.

“Hasil keputusan ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek sebanyak 174 mg/ 100 ml dalam darah iaitu melebihi daripada had yang dibenarkan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Ujarnya, tertuduh ditahan dibawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak