ARTIKEL

Denmark unggul, Malaysia tewas 3-2

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CHENGDU: Malaysia terlepas peluang untuk mengungguli Kumpulan D selepas tewas kepada Denmark 3-2 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini semalam.

Ketika semua perseorangan lelaki tumbang, gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara kejohanan Badminton Asia 2024 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi penyelamat maruah skuad negara apabila masing-masing menyumbang satu mata.

Pemain profesional negara Lee Zii Jia terlepas mata pertama buat pasukan negara selepas tunduk kepada pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen yang jelas menguasai perlawanan apabila menang 21-16 di set pertama.

Ketika ketinggalan 13-18 pada perlawanan set kedua, Zii Jia cuba bangkit menyamakan kedudukan 18-18 sebelum perlawanan ditamatkan dengan kemenangan berpihak kepada Axelsen 24-22.

Aaron-Wooi Yik menyemarakkan semula peluang skuad negara apabila menyempurnakan mata pertama sekali gus mengikat kedudukan 1-1 selepas menang 17-21, 21-17, 21-16 mengatasi pasangan di ranking keempat dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam masa 63 minit.

Denmark kembali di hadapan menerusi Anders Antonsen yang menyumbang mata kedua selepas mengecewakan Leong Jun Hao 21-14, 21-10.

Pasangan kedua negara Sze Fei-Nur Izzuddin juga tidak memberikan kemenangan mudah kepada jaguh Eropah itu apabila mengatasi pasangan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 23-21, 22-20 untuk mata kedua pasukan negara, sekali gus terikat 2-2.

Walaupun jurang besar dari segi ranking dunia, pemain di kedudukan ke-233, Justin Hoh ternyata tidak memberikan laluan mudah kepada Rasmus Gemke yang bermandi peluh sepanjang 76 minit sebelum berjaya menjinakkan Justin 13-21, 21-19, 13-21.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Malaysia kepada Denmark dalam saingan Piala Thomas selepas kali terakhir mengatasi jaguh Eropah itu 3-1 pada perlawanan suku akhir edisi 2014.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir, memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan dua kemenangan 5-0 masing-masing mengatasi Hong Kong pada Sabtu dan Algeria pada Isnin lepas.

Denmark pula memulakan kempen dengan kemenangan 5-0 mengatasi Algeria (Sabtu) dan Hong Kong (Isnin).

Saingan Piala Thomas berlangsung sehingga 5 Mei ini.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak tanam 34 juta pokok

Salah satu punca konflik meningkat ialah kehilangan kawasan hutan dan ia dikaitkan dengan penularan penyakit zoonotik — penyakit daripada haiwan kepada manusia. Faktor lain seperti