ARTIKEL

Depani iklim ekstrem global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

HARI ke hari, suhu global terus mencatat rekod tertinggi.

Badan dunia dan kumpulan pencinta alam mendesak semua pihak khususnya kerajaan negara di dunia bertindak segera mengurangkan kemusnahan sistem iklim ini.

Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) — merupakan perhimpunan tahunan berskala besar peringkat kerajaan yang cuba memberi tumpuan kepada tindakan iklim global ini.

Memang ramai mengharapkan COP28 PBB di Dubai, menjadi episentrum tindakan iklim, membawa bersama kerajaan dunia bertindak demi kepentingan global.

COP merangkumi pertemuan tahunan bawah Konvensyen Kerangka Kerja PBB berkaitan Perubahan Iklim (UNFCCC) yang berkuat kuasa sejak 21 Mac 1994.

Dengan keahlian melibatkan 198 negara, konvensyen ini berfungsi sebagai panduan dalam mengurangkan dampak kemusnahan iklim akibat tangan dan tindakan manusia.

COP28 kali ini dihadiri lebih 60,000 peserta wakil negara UNFCCC, pemimpin industri, aktivis belia, wakil masyarakat peribumi, wartawan dan pihak berkepentingan lain, mencerminkan keterlibatan luas masyarakat global dalam menghadapi krisis iklim.

Berlangsung di Dubai Expo City dari 30 November hingga 12 Disember 2023; upacara perasmian berlangsung 30 November diikuti ucapan pemimpin dunia pada 1 dan 2 Disember 2023.

PERJANJIAN PARIS

COP28 menjadi titik fokus merealisasikan matlamat Perjanjian Paris 2015 mengurus masa depan iklim global dengan matlamat menghentikan peningkatan suhu global dan membatasi kepada 1.5° Celsius di atas paras praindustri.

COP27 yang pernah berlangsung di Sharm el-Sheikh bertindak sebagai langkah pelaksanaan menangani iklim dunia, manakala, COP28 diharap dapat menjadi sebagai titik perubahan bagi tindakan menahan atau melambatkan pertambahan suhu global.

Persidangan penting menjadi platform menetapkan langkah jitu dalam mitigasi, adaptasi dan kewangan iklim, selain menempatkan alam dan manusia di pusat tindakan.

Empat fokus utama COP28 ialah mempercepat transisi tenaga, mengubah kewangan iklim, menempatkan alam dan manusia di pusat tindakan, serta memastikan persidangan yang inklusif.

Kali ini, antara peserta delegasi penting terdiri ialah Sultan Al Jaber, Presiden COP28 yang juga Menteri Teknologi Maju UAE, Raja Charles III, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, utusan khas AS berkaitan perubahan iklim John Kerry, Presiden World Bank Ajay Banga.

Turut hadir Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mohamed Salman, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Uzbekistan Shavkat Miromonovich Mirziyoyev.

Fasa awal persidangan menyaksikan ketua negara dan pemimpin dunia melahirkan persetujuan memudahkan perkembangan tindakan iklim pihak berkaitan, perwakilan dan ribuan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat, kumpulan belia dan pihak berkepentingan lain.

Seawal hari pertama COP28, menyaksikan negara anggota meluluskan secara rasmi dana bencana iklim.

RUNDINGAN

Dana ini membantu negara rentan menghadapi kos kemusnahan akibat perubahan iklim, termasuk kemarau, banjir dan kenaikan air laut. Pencapaian hari pertama ini dianggap sebagai sangat mengagumkan dan bersejarah kerana hakikatnya tugasan awal sudah dapat dimulakan tanpa sebarang penangguhan.

Sidang COP28 bakal menyaksikan siri rundingan berterusan berkaitan pelepasan kadar gas karbon, sektor minyak dan gas, yang selama ini ternyata menyumbang kepada faktor utama pelepasan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut mengalu-alukan kejayaan bagi pelancaran dana bencana iklim pada sidang COP28 tersebut.

Beliau menyifatkan keputusan diambil pada pembukaan COP28 itu — memulakan operasi dana bencana sebagai alat penting untuk menyampaikan keadilan iklim kepada golongan paling rentan.

Guterres bahkan merayu agar pemimpin dunia terus menyumbang demi memastikan dana dimulakan dengan asas yang kukuh.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada pelancaran Pavilion Malaysia COP28 di Dubai yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong berkata, Malaysia dengan bangganya mempamerkan peranannya sebagai peneraju serantau dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Malaysia sendiri menangani peranan penting berkaitan kewangan dalam perubahan iklim dengan menggesa negara maju menyumbang AS$100 bilion (RM467 bilion) setiap tahun, yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB September lepas.

PANDUAN

Malaysia turut merumuskan Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk menjadi garis panduan komprehensif ke arah mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050.

Kini, antara keutamaan Malaysia ialah menggubal rang undang-undang perubahan iklim, penubuhan dana penyesuaian nasional dan pembangunan mekanisme pasaran karbon.

Dengan COP28 di Dubai, UAE, sebagai pusat perbincangan dan tindakan, dunia berharap dapat melihat langkah wajar diambil mengarah kepada pelaksanaan matlamat Perjanjian Paris 2015.

COP28 harus mampu menjelaskan, apakah tindakan iklim yang lebih tegas dapat diambil dan bagaimana negara dunia melaksanakannya.

Kejayaan COP28 akan diukur melalui kesepakatan global yang komprehensif dan komited dalam mitigasi, menyesuai dan menyediakan kewangan iklim.

Harapan dunia COP28 mampu mencipta momentum positif dan memberi inspirasi kepada negara di dunia bergerak ke arah kelestarian.

Pemimpin dunia, wakil industri, dan masyarakat perlu bersatu mengatasi krisis iklim ini.

COP28 sepatutnya bukan sekadar acara, tetapi sebagai pangkalan untuk mengubah pandangan dan tindakan global.

– Rosli Jaya

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Berita yang menyedihkan – Datuk Sim Kiang Chiok

KUCHING : Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok, menyifatkan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib

Projek ART Johor bechuntoka pemujur Sarawak

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak deka nyadi malin ungkup projek ART ti deka dipejalai di nengeri Johor. Perintah Nengeri Johor benung ngelanggur