KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytiharkan satu lagi kluster baharu hari ini iaitu Kluster DTI Bekenu 2, Subis.
Katanya Kluster Depo Tahanan itu merupakan satu kluster yang dikesan melibatkan tahanan sebuah Depo Tahanan Imigresen yang terletak di Bekenu, Jalan Coastal Bintulu-Miri, Subis.
“Kes indeks (Kes Ke-260013) bagi kluster ini merupakan seorang tahanan perempuan berusia 31 tahun, bukan warganegara, yang dikesan positif COVID-19 melalui
saringan individu bergejala pada 28 Februari 2022 di Hospital Miri.
“Perebakkan jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan tahanan di dalam depo tahanan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, daripada 45 individu yang disaring, 17 orang didapati positif termasuk kes indeks dan telah ditempatkan di Hospital Miri dan PKRC DTI
Bekenu untuk rawatan dan pengasingan.
Sementara itu, JPBN berkata Sarawak mencatatkan sebanyak 857 kes baharu Covid-19, dengan 854 kes adalah dalam kategori satu dan dua, manakala tiga kes kategori tiga hingga lima.
Daerah Kuching mencatatkan kes tertinggi dengan 344 kes diikuti Miri dan Sibu masing-masing 127 kes.
Manakala, Bintulu (47), Samarahan (34), Sarikei dan Mukah masing-masing 25 kes, Serian (16), Limbang (15), Kanowit (12), Sri Aman (10), Lawas (sembilan), Saratok (lapan), Bau dan Maradong masing-masing tujuh kes.
Selain itu, Daerah Marudi, Dalat dan Matu masing-masing enam kes, Kapit, Daro dan Pakan lima kes, Subis (4), Betong, Lundu dan Selangau masing-masing mencatatkan dua kes dan Belaga satu kes.