Desakan ekonomi dalam kelaziman baharu

KEPUTUSAN kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun amat relevan demi manfaat semua ketika vaksin Covid-19 masih lagi belum ditemui.

Ketika negara bahkan dunia gusar akan hambatan Covid-19, pada masa yang sama maslahat sosial masih perlu direnung dan ditangani sebaiknya. Isu sosial berkait rapat dengan ekonomi.

Kekhuatiran kepada penularan epidemik Covid-19 satu hal penting. Sementelahan, kekhuatiran kepada isu ekonomi satu hal besar, apatah lagi menyentuh survival ekonomi sebuah negara.

Merujuk maqasid syariah dalam hal menjaga nyawa, tempoh PKP yang disarankan bertujuan memelihara kesihatan dan keselamatan jiwa.  Memelihara ekonomi untuk kesejahteraan rakyat masih berkaitan dengan kesejahteraan nyawa dan minda, selain menjaga harta.

Kerajaan membelanjakan RM11 bilion melibatkan hampir 11 juta warga di bawah BPN, dan ini tidak termasuk peruntukan dan bantuan lain.

Justeru itu, ketika wabak menjadi pandemik, namun dapat dikawal epidemik di peringkat wilayah, maka wajar kerajaan memikirkan perlunya PKP dilonggarkan, manakala aktiviti ekonomi dibuka semula. Rakyat perlu mencari nafkah dan menjalankan perniagaan.

Ramai berkata, kematian disebabkan Covid-19 satu kemungkinan, tetapi kematian disebabkan tiada makanan di atas meja “boleh jadi” satu kepastian.

Belajar daripada China, fasa “pelonggaran” ternyata menagih disiplin tinggi mengamalkan kelaziman baharu. Bahkan SOP jelas diperlukan ketika 27 sektor ekonomi atau pekerjaan dibuka.

Fasa ini mengajar masyarakat untuk berinteraksi dalam persekitaran yang tidak sama seperti dua atau tiga bulan yang lepas – dari segi; amalan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun yang lebih kerap.

Pemberdayaan komuniti sangat penting dan perlunya keseimbangan hidup berwaspada terhadap virus ketika pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Tahniah kepada KKM kerana cepat meletakkan negara pada kedudukan kesihatan selesa selepas diamuk epidemik. Bahkan, pakar antarabangsa termasuk dari China dan AS mengiktiraf pencapaian negara.

Ketika kita menjalani kehidupan dalam kelaziman baharu ini, belajar juga daripada AS, Jepun, Korea Selatan bagaimana semberononya mereka mengabaikan SOP, mengundang serangan gelombang kedua wabak.

Pakar mengatakan mana-mana negara yang segera mengatasi wabak, ia mudah memulihkan ekonominya dan dilihat berjaya dalam “perang melawan virus” ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selepas berjaya meratakan lengkungan jangkitan Covid-19, rakyat perlu bersatu memutuskan terus rantaian penularan dan menampan gelombang kedua wabak.

Di Semenanjung, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika terkejut melihat orang ramai mengunjungi pusat beli-belah mengingatkan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa. Beliau berpesan bahawa PKPB boleh dikembalikan menjadi PKP dengan pergerakan terbatas semula, jika rakyat ingkar!

Suara Sarawak