WABAK Covid-19 di negara ini berada pada kemuncaknya pada pertengahan Mac lalu.
Mendalami pengalaman seorang ibu yang mempunyai bayi terancam Covid-19 ini, wartawan Suara Sarawak menghubunginya melalui panggilan telefon bagi mengetahui lebih dekat bagaimana dia mengharunginya.
Menerusi kisahnya kita dapat memahami risiko virus ini.
Kisah anaknya sebelum ini pernah tular di media portal di internet, namun ramai yang tidak tampil menanyakan perkara sebenar berlaku.
Malah ibu ini turut memberitahu ada portal berita menulis perkara yang salah kerana tidak merujuknya.
Ketika dihubungi, Adila, 28, dan suaminya Fuad, 33, (nama singkatan) baru sahaja tamat menjalani kuarantin 14 hari di rumahnya di Selangor.

Menceritakan kisahnya, Adila menganggap ia mimpi ngeri apabila cahaya mata kedua mereka, TY berusia 3 bulan disyaki mempunyai simptom Covid-19.
Disebabkan itu, pasangan tersebut menjalani pemeriksaan saringan kerana selepas salah seorang bayi di pusat asuhan dihadiri sebelum ini disahkan positif Covid-19.
Menurut Adila, biasanya dia menghantar anaknya ke pusat asuhan pada waktu bekerja.
“Pada Mac lalu, guru pusat asuhan anak saya menghubungi saya memaklumkan salah seorang bayi disahkan positif Covid-19,” ceritanya.
“Difahamkan bayi berusia 4 bulan tersebut dijangkiti Covid-19 daripada datuknya yang menghadiri program keagamaan sebelum ini.
“Pada waktu itu anak saya juga menampakkan beberapa simptom batuk yang teruk dan selesema,” katanya kepada Suara Sarawak.
Selepas itu, dia dihubungi pihak kesihatan mahu mengambil sampel anaknya bagi pemeriksaan dan memaklumkan anaknya mempunyai simptom dan terus disarankan pergi hospital.
“Pada 18 Mac lalu, saya dan anak saya masuk ke wad Hospital Sungai Buloh, dan kebetulan pada masa itu anak saya turut dimasukkan di wad yang sama dengan bayi disahkan positif Covid-19 tersebut.
“Pada masa yang sama, waktu tersebut merupakan kemuncak peningkatan kes melibatkan individu yang hadir ke program agama,” katanya.
Tidak Dapat Tidur Malam
Sambil berkongsikan foto sewaktu berada di dalam wad tersebut bersama anaknya, menerusi media sosial Whatsapp kepada wartawan Suara Sarawak untuk disiarkan, Adila turut menceritakan perasaan resahnya sentiasa bermain-main di fikiran apabila dia melihat cahaya matanya mengalami batuk yang teruk walaupun semasa tidur.
“Saya memang tidak dapat tidur dan hati tidak tenteram ketika itu, kerana takut melihat anak saya menunjukkan simptom ini.
“Selama dua hari kami berada di wad tersebut apabila TY diambil sampel oleh pihak kesihatan menggunakan kaedah swab di bahagian tekak dan hidung, dan keputusan selepas 24 jam menunjukkan negatif kesemuanya.
“Manakala, ujian kedua pada hari seterusnya juga menunjukkan keputusan negatif, akhirnya kami dibenarkan pulang, saya sangat bersyukur,” ujarnya.
Adila yang juga jururawat turut memberitahu pihak kesihatan memberikan keutamaan kepada kanak-kanak terutama bayi bagi mendapatkan keputusan pemeriksaan segera kerana mereka lebih berisiko tinggi jika tidak dirawat lebih awal.
“Bagi dewasa pula, mereka mendapat keputusan ujian dalam masa dua hingga tiga hari.
“Pihak hospital memang tidak memberi apa-apa ubat pada masa itu kerana wabak ini tiada vaksin dan kami sebagai ibu bapa perlu menjaga anak kami memberi susu dan sebagainya, dan doktor memang sentiasa melihat dari semasa ke semasa perkembangan anak kecil ini,” ujarnya.
Kuarantin 14 Hari Di Rumah
Perkara paling penting katanya lagi selepas dibenarkan keluar dari hospital mereka perlu dikuarantin di rumah dan tidak dibenarkan keluar 14 hari dan Adila sendiri tempoh akhir kuarantin 2 April lalu.
“Ahli keluarga dan rakan kami membantu membeli barang keperluan dan selepas kuarantin tersebut suami saya baru dapat keluar membeli barangan keperluan.
“Jadi kita wajib mematuhi tempoh kuarantin ini walaupun kita tidak mempunyai simptom dan tanpa disedari kita pula menjangkiti orang lain,” katanya.
Difahamkan juga kini katanya bayi 4 tahun yang sebelum ini dijangkiti Covid-19 tersebut juga beransur pulih bersama keluarganya.
Jangan Dedahkan Anak Di Luar Rumah
Adila turut menasihati ibu bapa agar memantau perkembangan anak sekiranya menunjukkan simptom dan jangan dedahkan anak kecil ini keluar dari rumah.
“Sekiranya anak kecil ini pernah bersama-sama individu disahkan positif Covid-19 maka segera ke hospital bagi pemeriksaan dan pastikan anak kecil jangan didekati oleh orang dewasa kerana sistem imunisasi mereka sangat lemah.
“Jika anak anda tidak pernah bersama-sama individu yang disahkan positif, jangan mudah bawa mereka ke hospital kerana mereka berisiko terdedah dengan risiko wabak ini apabila berada di luar rumah,” nasihatnya.
Ujar Adila, kita perlu sentiasa tenang dan jangan panik menghadapi wabak Covid-19.
Patuh Arahan Kerajaan
“Teruskan berada di rumah untuk tempoh ini dan saya bersyukur atas menghargai setiap doa, kata dorongan, sokongan daripada semua pihak yang terus memberikan kata positif kepada kami sebelum ini termasuk suami saya sentiasa ada di sisi kami,” kata Adila.
“Patuhi arahan kerajaan duduk di rumah kerana ini langkah membantu memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
“Semoga kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa pada beberapa bulan akan datang dan masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dari segi kebersihan dan kesihatan, semoga Malaysia bebas daripada wabak Covid-19,” nasihatnya.



