ARTIKEL

Karikatur: Ukee

Detik tegang sebelum Mutang diterbangkan dari Baku

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HANYA ‘tujuh jam’ masa diberikan untuk membuat keputusan membawa balik Datuk Mutang Tagal pulang ke Malaysia.

Ia memang detik yang cukup tegang, menduga dan mencabar bagi pegawai-pegawai parlimen yang ada di samping beliau; Setiausaha Sulit Kanan; Mohammad Fahmi Mustafa dan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah.

Begitu juga Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Duta Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.

Ketika itu, Mutang, 70, berada dalam keadaan “ditidurkan” setelah mengalami serangan jantung. Dan rawatan terbaik hanya terdapat di Malaysia, dan sebagai ketua stafnya, Fahmi dan pihak kedutaan perlu membuat keputusan untuk membawa beliau pulang ke Malaysia.

Ketika itu lawatan rasmi ke Azerbaijan yang diketuai Mutang masih berbaki dua hari.

Mutang mengetuai delegasi dari Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia ke-6 Berkaitan Dialog Antara Budaya di Baku.

Malah beliau sempat melawat Presiden Ilham Aliyev, selain menemui Perdana Menteri Ali Asadov dan Speaker Dewan Negara Azerbaijan, Sahiba Gafarova sebelum ke Karabakh.

Mutang mengalami sakit pada malam Sabtu, 4 Mei ketika sedang berada di Karabakh, sebuah zon konflik.

Menurut Fahmi, Mutang pada mulanya hanya mengadu sakit perut. Dan setelah mendapatkan rawatan klinik swasta di situ, mereka membuat keputusan untuk bergegas ke Baku.

“Kami tidak dapat menggunakan helikopter atas faktor keselamatan kerana kawasan tersebut merupakan zon konflik, bergunung-ganang dan berisiko.

“Dengan diiringi pasukan keselamatan, kami memecut laju sekitar 180 ke 200 kilometer sejam untuk perjalanan sejauh 523 kilometer atau 7 jam perjalanan biasa menggunakan darat menuju Baku.

Konvoi tersebut akhirnya selamat tiba di Baku selepas lebih empat jam perjalanan, dan Mutang segera dimasukkan ke dalam hospital umum.

“Setelah memastikan proses rawatan berlaku, saya dan rakan-rakan terlelap seketika di ruang menunggu, sebelum tiba-tiba dikejutkan oleh jururawat kanan yang bertugas.

“Mereka memaklumkan Datuk Mutang telah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi kerana mengalami serangan jantung.

Jantungnya berhenti degup selama 20 saat.

“Saya cemas, dan meminta untuk masuk melihat keadaan Datuk.

Ketika itu beliau telah ditidurkan, dengan pelbagai gajet perubatan diletakkan di badannya.

Melihat kepada keadaan itu kata Fahmi, beliau meminta kepada doktor untuk membawa balik Yang Dipertua Dewan Negara itu balik ke Malaysia, kerana keadaannya agak uzur, dan rawatan terbaik adalah di negara sendiri.

Doktor berkata, beliau hanya memberi persetujuan pelepasan dengan syarat, satu-satunya pesawat yang boleh membawa Mutang ialah jet ambulans yang dilengkapi kemudahan perubatan dan jururawat.

“Detik itu memang menyukarkan. Saya dan rakan-rakan, termasuk duta besar berbincang banyak perkara pada waktu itu.

Kami perlu mencari pesawat yang dimaksudkan dan mendapatkan jaminan untuk membayarnya.

“Kami menghubungi pelbagai pihak termasuk di Singapura dan Dubai.

Malah kami meminta pihak Hornbill Skyways yang berpangkalan di Sarawak untuk membantu.

“Akhirnya kami temui ejen pesawat tersebut di Dubai dan segera meminta bantuan.

Kemudian kami perlu mencari wang untuk mendapatkan pesawat tersebut, yang harganya agak mahal.

Dan ia menjadi masalah rumit ketika itu, kerana di Malaysia adalah cuti hujung minggu sedangkan kami tidak cukup waktu.

“Setelah berhadapan kebuntuan, saya akhirnya menghubungi Setiausaha Sulit Kanan Premier Sarawak, Datuk Khir Busrah, memaklumkan masalah yang dihadapi oleh Datuk Mutang.

“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kemudian menegaskan dengan jelas, bahawa dalam apa keadaan pun, bawa Datuk Mutang balik ke Malaysia!

Usah difikirkan perihal kos. Jawapan Premier Sarawak kata Fahmi, amat melegakan, di sebalik pelbagai opsyen yang diusahakan pihaknya, termasuk menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pun begitu, masih terdapat pelbagai masalah yang perlu diatasi, termasuk pesawat yang hendak digunakan tidak mendapat kebenaran untuk mendarat di Kuala Lumpur kerana masalah dokumentasi.

“Mujurlah, ketika itu kami mendapat ‘berita baik’ apabila Presiden Azerbaijan, Ilham Heydar Aliyev menawarkan bantuan dan menyediakan jet ambulans untuk menerbangkan Datuk Mutang ke Kuala Lumpur.

Atas kelegaan itu, mereka kemudian menyediakan Mutang untuk dibawa segera menaiki pesawat menuju Kuala Lumpur, yang jaraknya lebih 6,700 kilometer, atau 10 jam perjalanan.

“Datuk Mutang dalam keadaan koma dan kami bermain dengan masa.

Setiap saat itu penting.

“Ia saat paling menakutkan dalam hidup saya,” kata Fahmi yang pernah bertugas selama 11 tahun sebagai pegawai Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Penerbangan membawa Mutang kemudian mendarat sekitar jam 1 pagi Ahad di Kuala Lumpur dan beliau segera dikejarkan ke Institut Jantung Negara.

Bertarung nyawa untuk beberapa hari lagi.

Mutang bagaimanapun menemui penciptanya sekitar jam 11.46 pagi Jumaat lalu.

Sebagaimana beliau menjaganya ketika keadaan kritikal di Baku, Fahmi berada di sisi Mutang ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, juga ketika jasadnya disemadikan di Fairy Park, Miri Isnin lalu.

Fahmi, 36 tahun, berkata, pengalaman bertugas dengan Mutang adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi dirinya, yang pasti tidak dapat dilupakan.

Gagal menahan air mata, beliau mengakui dapat merasai keakraban Mutang dan pasukannya sebagai satu keluarga biarpun hanya bersama dua bulan 21 hari.

“Beliau figura yang sangat humble, baik hati dan menyenangkan.

Cara beliau melayan kami, pegawai dan kakitangannya, kepimpinannya, komitmen terhadap tanggungjawabnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara cukup istimewa.

“Beliau menghargai setiap kakitangannya, dan untuk perjalanan menaiki pesawat dari Sarawak ke Kuala Lumpur, beliau akan sentiasa menghubungi kami, untuk pastikan kami sampai ke rumah.

“Malah pastikan kami sentiasa sempat makan, biarpun ketika sibuk bekerja.

Dedah Fahmi, Mutang hanya sempat menikmati rumah rasminya beberapa hari sebelum ke Baku, dan sempat menggunakan meja kerja yang diminatinya, yang datang beberapa hari sebelum itu.

“Saya juga berterima kasih kepada keluarga Datuk Mutang yang memberi peluang kepada kami untuk menjaga kebajikan Datuk hingga akhir hayat,” tambahnya lagi.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri