Terdapat 26.8 juta pengguna media sosial di Malaysia berdasarkan data statistik yang diperoleh pada Januari 2023.
Jumlah ini bersamaan dengan 78.5 peratus daripada keseluruhan 34.14 juta populasi rakyat Malaysia.
Media sosial merupakan medium utama untuk kekal berinteraksi dengan rakan, memaparkan kehidupan seharian secara digital dan mengikuti berita terkini.
Bagaimana jaringan media sosial ini memberi kesan ke atas kesihatan mental dan fizikal kita? Perlukah kita berhenti menggunakan media sosial sepenuhnya?
Pelbagai sebab anda mungkin berikan, mengapa anda ingin berhenti menggunakan peranti digital dan berehat sebentar daripada Internet.
Anda mungkin ingin meluangkan masa lapang berkualiti tanpa gangguan telefon pintar.
Mungkin juga anda rasakan bahawa penggunaan peranti mudah alih berlebihan menyebabkan tekanan dalam hidup.
Dalam situasi lain, berkemungkinan anda rasa ketagih dengan peranti telefon pintar.
Walaupun ketagihan terhadap teknologi tidak diklasifikasikan sebagai masalah kesihatan.
Ramai pakar kesihatan percaya, penggunaan telefon pintar berlebihan mempamerkan tingkah laku ketagihan yang menyumbang kepada masalah fizikal, mental dan sosial.
PETANDA ANDA PERLU DETOKSIFIKASI MEDIA SOSIAL
i. Anda rasa gelisah dan tertekan jika tidak dapat mencari telefon pintar.
ii. Anda memeriksa telefon setiap beberapa minit.
iii. Anda murung, gemuruh, atau marah selepas melayari media sosial.
iv. Anda mementingkan jumlah tanda suka, komen dan kongsi pada perkongsian yang dimuat naik.
v. Anda rasa ketinggalan jika tidak memeriksa peranti digital.
vi. Anda sering tidur lewat atau bangun awal hanya kerana melayari media sosial.
vii. Anda bermasalah menumpukan perhatian jika tidak dapat melayari media sosial.
Bagaimanakah keadaan pemikiran dan kesihatan mental kita tanpa media sosial seperti sekarang?
Sukar dibayangkan dunia tanpa media sosial.
Ramai yang terjebak dan lalai seketika apabila melayari media sosial sehingga lupa akan hal yang perlu dilakukan.
Tidak dinafikan penggunaan Internet untuk berhubung penting, tetapi bagaimana kita mencari keseimbangan dalam menerima maklumat daripada rakan, ahli keluarga, selebriti dan iklan yang sentiasa menginginkan perhatian kita?
CABARAN
Saya menyeru pembaca mengikuti cabaran menggantikan penggunaan media sosial dengan perkara yang lebih bermanfaat dan bermakna.
Memandangkan kesihatan mental kita lebih penting daripada estetik media sosial, apakah yang boleh kita lakukan selain memuat naik perkongsian dan melayari media sosial tanpa haluan?
Dunia nyata adalah segala-segalanya yang kita perlukan.
Apabila anda alihkan pandangan dari skrin telefon mahupun komputer dan melihat melalui tiga dimensi dunia nyata, terdapat pelbagai pilihan yang boleh dilakukan bergantung dengan keperluan anda.
Kenal pasti kenapa anda memerlukan media sosial dan cari alternatif yang boleh menggantikan keperluan tersebut selain melayari media sosial.
Jika anda sering menggunakan telefon pintar dan melayari media sosial ketika mengalami masalah dan ingin berehat, gantikan tabiat tersebut dengan alternatif lain seperti bersiar-siar di taman rekreasi.
Selain itu, baca buku atau melukis, memasak, membuat kek, bermain dengan binatang peliharaan, bersenam atau sekadar menikmati segelas minuman panas seperti coklat dan teh panas.
Jika anda melayari media sosial untuk berkomunikasi dan ingin berhubung dengan orang lain, cuba aktiviti lain yang lebih bermakna seperti menelefon rakan atau ahli keluarga.
Bahkan kita boleh menghubungi sesiapa sahaja melalui video zaman sekarang.
Gantikan tabiat melayari media sosial dengan menjemput rakan dan ahli keluarga untuk makan malam atau sekadar minum petang di rumah.
Luangkan masa dengan memasak dan membuat kuih-muih.
Ambil kesempatan untuk bersembang dan mengeratkan silaturahim dengan jiran sambil berkongsi makanan dan kuih-muih dengan mereka.
Jika anda memerlukan media sosial untuk hiburan, pergilah ke taman tema atau bermain permainan papan seperti Saidina, Jutaria, Monopoli dan Srabble bersama-sama ahli keluarga mahupun sahabat anda.
Luangkan masa mendaki bukit, berkebun, mendengar podcast atau melawat muzium tempatan untuk berhibur.
Penting untuk kita mengetahui motif sebenar menggunakan media sosial.
Apabila anda dapat mengenal pasti tujuan tersebut, baharulah anda dapat membuat pilihan yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan tersebut dengan cara lain yang lebih sihat dan bermakna.
Walaupun berhenti daripada media sosial merupakan langkah yang disarankan, penting juga kita bersifat realistik dan tidak terlalu radikal dalam hal ini.
Jika media sosial sebahagian daripada hidup anda, tidak ada masalah sebenarnya.
Yang penting anda tahu mengawal kesan negatif media sosial dan menggunakannya secara berhemah.
Contoh penggunaan media sosial yang bijak adalah dengan tidak mengikuti mana-mana laman atau perkongsian yang memberi kesan negatif ke atas emosi anda.
Padamkan komen atau mesej negatif dan sentiasa menjadi contoh dengan memuat naik perkongsian yang benar, bermakna dan boleh memberi inspirasi terhadap pengguna media sosial lain.
Kebanyakan kita tidak dapat lari daripada pengaruh media sosial.
Dengan penggunaan yang berhemah dan seimbang dengan aktiviti lain, media sosial dapat menjadi medium sihat untuk ekspresi diri dan perhubungan.