Dewan Bandaraya Miri bangunan pintar

MIRI: Dewan Bandaraya Miri akan menjadi sebuah bangunan yang bukan sahaja ikonik tetapi juga menambah baik perkhidmatan yang diberikan Majlis Bandaraya Miri (MBM) kepada masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata apabila siap, bangunan yang dibangunkan menghadap Laut China Selatan ini akan menyediakan perkhidmatan pintar selaras dengan visi menjadikan bandar raya ini sebagai bandar pintar.

“Bangunan ini akan disambungkan dengan semua kemudahan yang disediakan MBM menerusi perhubungan pintar.

“Misalnya perkhidmatan bas akan dilengkapi dengan peranti canggih dan ia dapat dikesan termasuk perkhidmatan lain seperti kutipan sampah yang akan dihubungkan dengan pusat kawalan di bangunan ini.

Bangunan Dewan Bandaraya Miri sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Lakaran model Dewan Bandaraya Miri.

“Jadi bersempena Hari Sarawak ini, saya mengucapkan tahniah kepada orang Miri kerana mempunyai bangunan pintar dan orang Miri pun akan menjadi pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan projek pembinaan Dewan Bandaraya Miri sempena kedatangannya untuk sambutan Hari Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, reka bentuk Dewan Bandaraya Miri seperti tong minyak juga bagi menandakan Miri sebagai wilayah pengeluaran minyak di Sarawak.

Beliau menambah bangunan ini juga mesra alam, yang dibina menggunakan inovasi baharu.

Katanya projek ini dijangka siap dalam suku pertama tahun depan.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Ser Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar MBM Adam Yii Siew Sang.

Abang Johari (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain semasa meninjau pelaksanaan projek Dewan Bandaraya Miri, hari ini. – Gambar Ramidi Subari

Suara Sarawak