Dewan Sukan Kem Belia Mukah digazetkan sebagai Pusat Kuarantin, PKRC

MUKAH: Dewan Sukan Kem Belia Mukah kini digazetkan sebagai Pusat Kuarantin dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan lebih 50 pesakit berisiko rendah Covid-19. (jangkitan tempatan).
Residen Mukah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah Hamdiah Bakir memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mahu agar satu PKRC disediakan untuk bahagian Mukah.
“Oleh itu, pihak JPBB Mukah dan pihak Hospital Mukah serta Jabatan Kesihatan menyediakan tempat ini, memandangkan Hospital Bintulu dan Hospital Sibu kini menerima ramai pesakit.
“Rawatan di PKRC ini akan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah iaitu kategori satu untuk tiada gejala dan kategori dua untuk bergejala ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani gotong-royong di Kem Belia Mukah pada Khamis.
Jelasnya lagi sejumlah 50 orang petugas barisan hadapan akan ditugasjan yang terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, dua Penolong Pegawai Perubatan, dua Jururawat, Rela dan anggota Polis yang akan dibahagikan kepada dua shif sehari.
“Bagi Dewan ini kita menyediakan sebanyak 50 tempat untuk pesakit, termasuk 25 katil dan beberapa Khemah Nadma serta pelbagai lagi peralatan lain yang diperlukan oleh pihak hospital.
“Kita akan terus membantu persiapan ini dalam tempoh 2 hari ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Hamdiah turut menghargai bantuan daripada Ahli Parlimen, Datuk Hanifah Hajar Taib kerana menyediakan tandas bergerak dan sumbangan dana kewangan untuk PKRC berkenaan.
“Adun Tellian, Yusibnosh Balo turut sama membantu kita dalam pembelian khemah untuk kawalan keselamatan, baik pulih dan kerja-kerja bilik mandi dan tandas pesakit kelak.
“Terima kasih juga atas sokongan bantuan Adun Balingian, Abdul Yakub Arbi untuk kerja-kerja pembahagian bilik rawatan, penyambungan paip air di dewan dan kuarters penyambungan eletrik dan air, serta penyambungan talian telefon.
“Penghargaan juga kepada semua jabatan yang membantu dan pihak Kem Belia Mukah dalam usaha kita mengekang pandemik Covid-19 ini,” katanya lagi.
Turut hadir Pemangku Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pengarah Hospital Mukah, Dr Yik Kah Sieng, dan beberapa pegawai daripada agensi kerajaan yang terlibat.

Suara Sarawak