Dewan Sukan-Komuniti dan Hub Inovatif mercu tanda baharu di Batu Kawa

KUCHING: Pembinaan Dewan Sukan-Komuniti dan Hub Inovatif di tapak bekas kuari Ang Cheng Ho bakal menjadi mercu tanda baharu bagi masyarakat di sini khususnya sekitar Batu Kawa.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, projek tersebut amat bermakna kepada masyarakat di Batu Kawa kerana ia adalah permulaan dalam transformasi bagi tapak bekas kuari Ang Cheng Ho.
“Ada yang mengatakan tempat ini tidak indah untuk dipandang, tetapi bagi saya ia adalah harta karun terakhir yang belum diteroka di Kuching.
“Justeru, dengan menjadikan ia sebagai satu kawasan rekreasi yang akan menguntungkan semua masyarakat, ia akan menjadi mercu tanda baharu di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Dewan Sukan-Komuniti dan Hub Inovatif di sini, pagi tadi.

BEKAS KUARI… Tapak bekas kuari Ang Cheng Ho yang bakal dibina dengan Dewan Sukan-Komuniti dan Hub Inovatif- (Foto Ghazali Bujang)

Kui Hian yang juga Adun Batu Kawa berkata, dewan yang dibina di tapak bekas kuari Ang Cheng Ho itu akan menjadi hub inovatif kepada usahawan muda baharu.
“Dengan terbinanya dewan ini nanti, usahawan muda tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan ilmu keusahawanan.
“Dewan ini juga akan dapat menampung sekitar 1,000 orang tidak kira dalam majlis sosial mahupun sukan,” jelasnya.
Kui Hian menambah, tender terbuka untuk projek pembinaan dewan komuniti seluas empat ekar daripada 29 ekar tapak bekas kuari itu berjumlah RM9.8 juta dan dijangka siap dalam tempoh 15 bulan.
“Bagaimanapun, peruntukan untuk projek rakyat yang berjumlah hampir RM10 juta itu masih tidak mencukupi kerana ia tidak mengambil kira kos pemerolehan tanah, kos pembinaan jalan akses dan peningkatan kos lain yang dianggarkan masih memerlukan peruntukan berjumlah RM5 juta lagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta dari Kerajaan Sarawak yang turut diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam majlis yang sama.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) merangkap Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Antonio Kathi Galis.

Suara Sarawak