Shield Sahran

SHIELD SAHRAN berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau mula melibatkan diri di dunia penulisan pada 2004 menerusi pertandingan menulis cerpen peringkat sekolah menengah. Seterusnya, beliau mencebur diri dalam penulisan di akhbar tempatan pada 2014. Beberapa karyanya diterbitkan bersama DBP, FIXI, Lejen Press, SYFE Management, Nusa Centre, Komuniti Buku Karya Johor, Pekasa, Gapeniaga, Unisza dan Penulis. Beliau penerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2020/ 2021 kategori cerpen dan Hadiah Penghargaan Gapena 50 Tahun kategori cerpen
KITA takkan percaya kalau tidak benar-benar yakin.
Aku pernah mendengar kata-kata itu suatu masa dulu daripada abah dan aku pernah tertanya-tanya, adakah ada perbezaan antara percaya dan yakin?
Sekarang aku mengerti.
Maksudnya, curiga menguasai.
Jujur aku katakan, curiga umpama tali yang mengikat kaki dan tangan.
Semakin aku dewasa, curiga semakin mudah menjerut pemikiran.
Adakah tekanan hidup menjadi pemicu?
Aku mahu cuba merawatnya.
“Ayo, ke angkringan,” aku dipelawa ke sebuah gerai kecil antara lorong Malioboro, ada beberapa buah angkringan yang lain di lorong yang sama, tapi tidak semeriah ruang legar Malioboro itu sendiri, padat dengan manusia dan diselangi dengan alunan muzik.
Sementara, angkringan pula begitu santai, angin malam begitu terasa menyapa pipi dengan suara pengunjung angkringan yang duduk di sebelah hampir tidak kedengaran.
Bisikan suara hanya berkeliaran di sekitar cuping telinga sahaja.
Aku menurut langkah temanku, seorang pencerita yang bagus.
Taufik memperdengar kisah Jogjakarta yang pernah dibumi hangus oleh pemberontakan.
Pernah rebah disebabkan bencana alam.
Sekarang menyimpan segala kisah cinta di setiap sudut kota.
Tertera kata-kata kotanya terbuat dari rindu, pulang dan angkringan.
Terasa begitu romantis, melihat segenap jalan dipenuhi kata-kata memikat.
NASI KUCING
Di bawah bumbungan angkringan, cahaya lampu menyinari ruang makan dan bekas makanan berisi camilan.
“Ini dia, nasi kucing.
Harus dicuba,” ujar Taufik, lalu menghulurkan bungkusan sebesar tapak tangan.
Aku berprasangka.
Apakah ada kucing di dalamnya?
Aku teringat pesan kawanku sebelum berkunjung ke Jogjakarta.
“Jangan makan di gerai tepi jalan.
Entah apa yang dijual.”
Aku memikirkan adakah aku harus menerima pelawaan tersebut, sementara pandangan mataku berkeliaran memerhati camilan yang terhidang.
Ada pelbagai jenis sate, tempe goreng, kekacang, keropok dan entah apa lagi.
Tapi, rasa curiga begitu mudah bertumbuh apabila berada di tempat asing.
Maka, mataku lebih cenderung memerhati sekeliling daripada memandang makanan.
“Maaf, sudah kenyang.
Sambal ijo kelihatan pedas.
Sudah malam-malam begini tak mau makan pedas,” kataku, memberi alasan yang paling munasabah.
Maka, aku meminta minuman dingin untuk menyejukkan badan yang panas di malam hari.
Lantas, aku dihulurkan segelas teh ais yang aku kira rasanya seperti teh ais yang biasa dibancuh di rumah. Aku jarang sekali minum teh di kedai.
Tapi ternyata, teh ais yang dihidangkan kepadaku punya aroma dan rasa yang sangat berbeza.
Wangian bunga melati menyapa hidung.
Tidak meninggalkan kesan yang aneh di lidah malah badanku langsung dingin dan tenang.
Teh apa ini, soalku lalu memandang Taufik.
“Nah, maka sebab itu aku bawa kamu ke mari.
Rasai kesederhanaan di angkringan.
Di sini kamu lihat sendiri, porsinya kecil.
Secukupnya untuk dimakan malah bagus untuk diet.
Minumannya juga enak. Kalau berlebih-lebih tidak bagus untuk badan.”
Aku memandang gelas teh ais dengan dasar gelasnya ada serpihan gula batu.
Bukan saja tehnya enak, malah gula yang digunakan juga punya keistimewaan tersendiri.
Perlahan-lahan, aku jadi tertarik mahu mencuba nasi kucing yang tiada secebis daging kucing pun di dalamnya.
Nasi kucing cuma nasi putih biasa yang dibungkus dalam daun pisang dan dilapik kemas dalam kertas.
Lauk sampingannya juga sederhana, sama ada tempe goreng, sambal ijo atau lain-lain.
Walau bagaimanapun, aku membatalkan niatku, aku memang tidak boleh makan sambal ijo malam ini.
Lalu, Taufik makan tiga bungkus nasi kucing bersama beberapa camilan lalu mengesat air mata akibat menahan pedas.
Meskipun aku curiga, rasa ingin tahu juga ikut bertumbuh, aku akhirnya menjamah camilan di hadapanku.
Oh, enak juga rupa-rupanya! Ketika aku menikmati camilan berupa sate jamur, Taufik membuang pembalut nasi kucing di celah angkringan.
Aku pantas bertanya, “kenapa dibuang di situ?”
“Nanti pagi ada yang datang ambil.
Buang saja. Sampah untuk kita tapi rezeki untuk orang lain.”
Aku mengangguk, memahami.
Tatkala aku melihat sekeliling, pengunjung berhampiran juga membuang sampah mereka di celah angkringan.
SAMPAH SEBAGAI REZEKI
Nanti esok, pengutip barang terbuang akan datang untuk mencari rezeki mereka di lorong sebegini.
Rezeki datang dalam pelbagai cara dan bentuk.
Malam di Jogjakarta, aku membuang pandangan ke luar jendela hotel Citradream yang terletak berdekatan Tugu Jogja yang didirikan di simpang empat jalan A.M Sangaji, Diponegoro, Jenderal Sudirman dan Margo Utomo.
Taufik memberitahuku, tugu putih itu dibina selari dengan kedudukan kraton, Gunung Merapi dan Laut Pantai Selatan.
Simbolik magis yang menghubungkan alam, manusia dan seni bina.
Aku seperti mencari magis di sini, atau mungkin rasa percaya.
Barangkali aku belum percaya sepenuhnya dengan hal yang aku lihat dan rasa.
Aku katakan aku mahu datang ke mari untuk bercuti.
Tapi aku belum bersedia untuk menikmati.
Masih curiga untuk mencuba makanan, masih curiga duduk di angkringan, masih curiga pada orang.
Malah, aku juga curiga pada malam di tempat asing.
“Esok kita jalan-jalan ya!” Taufik berkata demikian sebelum aku dihantar ke hotel.
Dia mahu memperkenalkan banyak tempat kepadaku.
Begitu banyak cerita yang mahu diceritakan.
Aku suka mendengarnya, terasa begitu dekat aku dengan kehidupan di situ.
Tapi ironinya, aku tidak ada keberanian untuk mencuba nasi kucing padahal menunya terkenal dan ringkas pula buatannya.
Aku menyedari, curiga ini bisa disembuhkan dengan keberanian untuk mencuba.
* * *
Bau wangi teh melati meruap dan menyapa hidungku dengan mesra.
Tidurku juga enak semalam. Padahal biasanya aku sukar tidur di tempat asing.
Tapi entah kenapa, selesa pula seperti aku lupa aku berada jauh dari rumah.
Kemudian, Taufik datang menjemput di hotel dan pagi pertama di tempat orang, aku melihat lorong yang menempatkan angkringan sudah dibersihkan.
Tiada sampah, kotak-kotak diikat kemas.
Ada beberapa angkringan dibuka di hadapan jalan, menyediakan sarapan seperti bubur nasi dan juga mi goreng.
Pagi-pagi penduduk di sini sudah mengusung angkringan untuk berniaga, kemudian berkemas semula apabila pekerja sudah masuk bekerja dan anak-anak sudah berada di sekolah.
Rutin paginya sederhana, tapi menghidupkan perasaan.
Perlahan-lahan aku belajar untuk bersyukur.
“Hidup di sederhana. Mereka di sini tidak punya angan mau berlibur.
“Asalkan cukup makan dan minumnya.
Cukup pakai dan ada tempat berteduhnya,” Aku mengangguk sambil mendengar Taufik meneruskan ceritanya tentang penduduk di situ.
Aku membandingkan tujuanku datang ke tempat asing iaitu bercuti.
Perlahan-lahan, aku tersenyum pahit.
Namun sesudah itu, Taufik menoleh ke arahku dan berkata lagi, “tapi kalau punya kesempatan, lihat dunia.
Belajar sesuatu dari alam ciptaan Tuhan.”
Aku membuang pandangan ke luar tingkap kereta dan melihat bidang sawah yang hijau berpetak-petak di kiri dan kanan jalan.
Petani sedang membanting tulang menuai tangkai padi masak. Kerja keras. Adakah mereka lelah hidup seperti aku yang lelah menjalani rutin kerja yang sama?
Adakah kedatanganku ke mari dapat menjernihkan fikiran dan langkah menjadi lebih ringan?
Gunung Merapi sayup-sayup kelihatan. Kelelahan yang menghimpit fikiran melarut di dalam awan yang melitupi puncak gunung.
FAHAM BUDAYA TEMPATAN
Seterusnya, aku singgah di Muzium Ullen Sentalu bersama-sama hajat mahu memahami budaya tempatan.
Aku percaya, untuk menerima sesuatu kita harus memahaminya.
Melihat suasana di sekitar muzium, rasa ingin tahuku bertunas.
Ada apa di sini? Kenapa terlindung di sebalik pohon-pohon besar, dinding tinggi, dan lorong berselirat?
Akhirnya, segala persoalan terjawab apabila aku mengikuti lawatan.
Begitu banyak koleksi seni berkualiti tinggi, mataku tidak dapat berkalih dari memandang batik corak Udan Liris lalu aku mengajukan pertanyaan.
“Udan Liris, batik ini dulunya batik larangan, dicipta oleh Pakubuwono yang terilham oleh hujan di saat sedang berendam di Sungai Premulung.
“Namanya bermaksud hujan gerimis, mengandung makna ketabahan dan harus tahan menjalani hidup biarpun dicoba.”
Setelah mendengar makna corak batik tersebut dari pekerja muzium, perasaanku bercampur baur.
Udan Liris mengajar makna istiqamah dalam menjalankan ikhtiar mencari rezeki.
Begitulah, curiga mewujudkan takut.
Namun, juga bisa disembuhkan dengan rasa ingin tahu.
Lalu timbul pertanyaan di fikiran.
Apakah percutian ke tempat jauh mampu membuang masalah?
Semua orang ada beban di luar sana, bukan aku seorang.
Cuma, apakah bebanku ini tidak wajar untuk diakui?
Ketika aku berada di Hutan Pinus Mangunan yang dipenuh dengan pokok pain yang tinggi menjulang, aku mendapati perilaku dahan pohon yang menjulang ke atas, tetapi tak saling bersentuhan dan fenomena ini disebut dengan Crown Shyness.
Lantas aku terfikir.
Fenomena ini berlaku bagi memastikan cahaya dapat menembusi kanopi dan fotosintesis terus berlanjutan.
Seolah-olah pokok pain mengajar aku, manusia boleh bertumbuh dengan baik jika tidak menafikan kecewa.
Masalah menjadikan manusia itu benar-benar manusia dan membuka ruang kepada manusia untuk berusaha menjadi lebih baik.
Aku melihat percutianku di tempat asing ini bukanlah percutian untuk menggembirakan diri semata-mata, tetapi percubaan untuk mengenal diri sendiri.
Malah sebenarnya, pengembaraan ke dalam diri sendiri jauh lebih sukar daripada mengembara ke tempat orang.
Curiga bertumbuh jauh lebih cepat dari pokok.
Seterusnya, Taufik membawaku ke wisata Gunung Kidul untuk melihat matahari terbenam.
Lihat salah satu kebesaran Tuhan Yang Maha Esa, katanya.
Saat itu aku sempat menyoal tindakan sendiri kenapa harus bercuti jauh-jauh?
Bukankah di tempat sendiri juga ada banyak keindahan alam?
Namun aku teringat lagi, apa salahnya bercuti di tempat jauh?
Kenapa hal semacam itu pun harus aku fikirkan sebegitu mendalam dan memeningkan kepala sendiri?
Nikmati saja rezeki dapat berkunjung ke tempat orang dan menimba ilmu-ilmu yang aku tidak tahu sebelum ini.
Berfikir secara berlebih-lebihan juga tidak bagus untuk kesihatan.
Hakikatnya, segenap tempat asing yang aku jejak, lihat dan rasa, semuanya membawa makna kebesaran Tuhan.
Betapa banyaknya ciptaan Tuhan yang hebat, termasuklah manusia itu sendiri.
Aku memandang langit senja yang bertukar menjadi ungu kebiruan untuk pertama kali dalam hidup.
Rupa-rupanya, langit boleh berubah warna menjadi ungu di waktu senja.
“Apabila kita mengembara ke tempat yang kita tidak biasa, seolah-olah, kita memperbaharui mata kita. Menyedari bahawa betapa kecilnya kita.
Akhirnya kita berasa rendah diri di hadapan ciptaan Tuhan,” ujar Taufik dengan wajah senang sambil mencicip kopi pahit.
Ya, kehidupan juga pahit. Manusia sentiasa mencicipnya.
Aku membalas kata-katanya dengan tenang, “pada akhirnya, kita bisa sesal jika tidak mencuba untuk melangkah keluar dan ambil peluang.”
DUA POHON BERLAINAN TEMPAT
Sebelum kembali ke hotel, Taufik membawaku melihat dataran di Kraton Jogja, istana rasmi Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat.
Di bahagian hadapan, dataran yang dilapisi dengan pasir dari gunung berapi yang kelabu kehitaman tidak ditumbuhi sehelai rumput tampak cukup kesepian.
Yang ada hanya dua pohon besar rimbun lagi subur yang kelihatan seperti gapura ke kawasan kraton.
Aku tidak mengerti kenapa Taufik membawaku ke situ.
“Ada apa di sini?” Aku menjenguk ke luar tingkap kereta.
Dua batang pohon itu jelas sekali sedang kesunyian.
“Malam di sini meriah.” Taufik memberi jawapan. Suaranya teruja.
“Meriah?” Aku memandang lagi dengan rasa tidak percaya.
Apa yang meriahnya? Aku terkebil-kebil sementara Taufik tertawa kecil lalu menyambung kata-katanya.
“Jangan mudah percaya pada luaran.”
Taufik memutar stereng keretanya lalu menuju ke belakang kraton yang punya laman yang sama seperti di hadapan kraton, di sana juga ada dua batang pohon yang serupa seperti di hadapan kraton.
Tapi bezanya, suasana di belakang kraton sangat meriah seperti tapak pesta keramaian.
Berbondong-bondong manusia berada di sekitar pohon besar.
Angkringan berderet-deret di pinggir jalan, seniman jalanan mendendangkan lagu seperti laman belakang kraton itu adalah pentas konsert mereka.
Apakah ini laman istana atau kawasan hiburan?
Aku terkesima untuk beberapa ketika sehinggalah Taufik menawarkan aku untuk mendekati dua batang pohon besar tersebut.
“Mau ke situ? Boleh dicuba laluannya.
Laluan itu digunakan oleh raja mencari calon pekerja istana kraton, abdi dalem namanya.
“Kalau melepasi dua pohonnya lurus sampai ke pintu sana, orangnya jujur hati bersih.
“Kalau ke kanan, kurang jujur tapi masih boleh diperbetulkan.
Tapi kalau ke kiri, orangnya tidak jujur.
“Nah, di sinilah mereka yang berumah tangga menguji pasangan mereka kalau ada hal yang bikin curiga.
Atau pasangan kekasih, sahabat, keluarga…” Sepasang mataku memandang ke arah dua pohon tua yang aku tidak tahu namanya, berdiri seperti pasangan yang menilai orang yang melewati mereka.
MENILAI KEJUJURAN
Adakah aku mahu memperlihatkan tahap kejujuran hatiku kepada Taufik dan juga kepada penduduk di sini?
Aku datang bersama curiga dan tidak percaya, malah buruk sangka juga.
Aku tidak bangga memilikinya malah penat juga berpura-pura.
Tapi malu juga kalau takut mencuba.
“Tak apa-apa kalau belum sedia,” Taufik memandangku, seperti tahu hal yang bermain di fikiranku.
Lantas, aku membalas semula dengan nada berseloroh supaya rasa malu terhadap pengakuan sendiri tidak begitu ketara.
“Bagaimana aku mahu uji kejujuran di antara dua pohon ini, kalau dengan perasaan sendiri pun susah mahu mengaku?
“Pakej dewasa datang bersama curiga.
Kamu lebih tua dari aku, pasti tahu bagaimana rasanya diuji. Rasa kopi!”
Sesudah itu aku menutup bicara dengan ketawa, cara biasa untuk menyimpulkan sesuatu perkara dengan santai.
Taufik juga ikut ketawa kerana mustahil untuk dia menafikan.
Apabila kami beredar meninggalkan dua pohon tersebut, entah kenapa curigaku datang lagi.
Barangkali, dua pohon ini punya mata.
Memerhati aku yang memujuk curiga.
Tapi ya, Taufik benar.
Jangan melihat sesuatu secara luaran.
Barangkali di sebalik masalah itu ada rahmah.
Barangkali curiga itu mengajarku bagaimana untuk benar-benar yakin dan percaya.