
PADA Selasa, saya berpeluang menjejak kaki ke Puncak Borneo. Bukan untuk bersiar-siar atau mencari durian yang kini mula mengeluarkan bunga. Kawasan ini berada pada dataran yang lebih tinggi, namanya puncak, wajarlah lebih tinggi. Tunggu. Saya hendak bercerita perkongsian menarik. Biar saya mulakan dengan bagaimana kami sampai ke sana, penjara.
Saya mendapat idea untuk membawa wartawan kami ke sini selepas dicadangkan oleh orang kuat Centexs Commercial. Beliau memberi idea, apa kata bawa wartawan untuk melihat sendiri bagaimana tenunan songket daripada penghuni tirai besi. Saya melalui proses tapisan, soal jawab yang saya sendiri sangka — takkan mendapat kelulusan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor.
Tanpa melengahkan masa, esoknya saya tulis surat dan hantar kepada individu dari agensi itu yang kemudian mengajukan surat berkenaan kepada pihak penjara. Saya tidak menaruh harapan kerana bukan mudah, dengan nama kami akhbar setahun jagung. Di dalam hati saya — untung sabut timbul untung batu tenggelam.
Dua hari kemudian, ada pegawai wanita dari puncak menghubungi saya menyatakan dan memaklumkan, mereka sudah menerima surat serta akan memanjangkan kepada orang atasan.
Baiklah, saya jawab, tidak apa, saya boleh tunggu. Hari itu hati saya yakin, ia tidak akan dilulus. Saya sebenarnya terlalu percaya kepada perasaan was-was. Jika permulaan urusan kita kalut, ia pasti tidak jadi. Pertamanya juga, membawa wartawan masuk ke dalam penjara agak mustahil, keduanya, ia berkenaan integriti dan SOP.
Saya biarkan seminggu berlalu begitu sahaja. Sehingga minggu kedua saya terima panggilan daripada pegawai berbeza, memaklumkan untuk meminta nama dan nombor kad pengenalan sesiapa yang dipilih ke sana.
Di sini cerita bermula. Saya harus mesti memilih wartawan yang saya yakin boleh berenang apabila saya tikam ke laut, boleh terbang apabila dilepas ke udara dan boleh berlari sebaik sahaja kaki menjejak tanah. Sebagai ketua, saya tidak boleh pilih kasih dalam memberi wartawan berkarya, adakalanya saya harus memilih dengan akal waras kerana penulisan ini memerlukan fakta tepat, pemahaman berintegriti. Salah fakta, kerjasama yang saya susun dengan pihak sana akan menjadi debu.
Saya ingat selepas menghantar nama wartawan dan jurufoto, ia berakhir dengan khabar gembira. Tidak sama sekali. Saya ditelefon lagi, meminta soalan awal terutama membabitkan penghuninya. Saya hantar terus kerana dalam mana-mana peluang jika kita lambat seminit, kita boleh kehilangan peluang yang besar. Saya tidak suka menangguh kerja apabila melihat ada cahaya di hujung terowong.
Selepas itu, saya tertungg-tunggu telefon. Dua hari berlalu, saya menerima telefon dari Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor memberitahu, permohonan kami diluluskan. Saya memberitahu wartawan bertugas supaya bersedia malah siap pesan, tolong jangan demam batuk apabila hari itu tiba kerana nama tidak boleh ditukar sesuka hati, perlu ke Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor untuk penukaran.
Apabila saya ingat sebenarnya pesanan saya tidak masuk akal tetapi kerana gentar, jika menjadi pertemuan itu tidak seperti yang dijangka. Sebab itu saya mahu semuanya bersedia dengan sempurna. Saya tunggu lagi, masuk minggu ketiga, saya sekali lagi menerima panggilan dari ibu pejabat untuk tapisan apakah yang akan kami bawa, berapa biji pen, buku nota, telefon dan kamera. Saat itu saya seperti drama penyiasatan, ini
Percayalah, sangat susah meminta sesuatu yang berkaitan dengan undang-undang negara. Bukan semudah makan kacang sambil menonton Netflix. Sekali-sekala saya perlu memberi kredit kepada diri sendiri, saya berjaya apabila pihak di sana memberitahu, kami merupakan satu-satu akhbar yang dibenarkan menemu bual penghuninya.
Selesai tapisan terakhir, saya menerima e-mel, tarikh pada Selasa lalu, kami naik ke puncak. Ya, harinya telah tiba. Saya memakai baju biru dan kebetulan ia sama pakaian seragam kakitangan di puncak.
Kata orang tua-tua, jika mahu ke rumah tetamu yang pertama kali kita temui, pakailah pakaian biru kerana warna biru lambang kedamaian dan aura positif serta dikaitkan dengan profesionalisme, kepercayaan dan keyakinan.
Jangan pakai warna putih dan kuning jika ada majlis membabitkan kerabat diraja kerana tetamu dianggap menghina warna diraja — ini pula yang saya pelajari minggu lepas apabila menerima jemputan mengadap kerabat yang hendak berkunjung ke Kuching minggu depan.
Kami berangkat jam 8.30 pagi dan singgah makan roti canai. Perjalanan ke sana sangat mudah dengan jalan raya Pan Borneo baharu boleh sampai puncak dalam masa singkat. Janji temu jam 10.30 pagi. Kami dihidangkan dengan mi kolok hasil tangan penghuni wanita yang sangat sedap sebelum dibawa melawat ke dalam sel penempatan penghuni.
Dipendeknya cerita, kaki melangkah masuk ke bengkel tempat mereka menenun. Saya melihat beberapa para-para menenun daripada kayu jati, di depannya benang warna-warni. Saya belum melihat ke wajah penenunnya. Saya terus asyik memerhati jari jemari menarik dan menyorong benar.
Kemudian mata saya terus ke bahagian tangan penenun, ada tatu berbunga. Pemilik tangan memakai baju berwarna biru. Saya mendekatinya dan menegur. Dia senyum dan menyapa, selamat tengah hari puan. Saya memulakan bicara dengan memuji hasilnya — cantik, pandai awak menenun.
Dia ketawa sambil memandang rakan-rakan saya yang lain. Kemudian tunduk dan tekun menenun kembali. Saya cuba tanya, mengapa masuk sini? Seminit selepas itu saya menyesali soalan saya.
Sama seperti orang masuk rumah sambil menutup payung yang ada titisan hujan dan kita bertanya — adakah hari hujan? Saya kemudian membetulkan soalan, jenayah apakah yang menyebabkan dia masuk sini? Ceritanya panjang, apa jenis kesalahannya biar antara dia dengan saya sahaja yang tahu.
“Saya paling rindu akan anak. Saya rindui kebebasan. Saya rindu ibu bapa dan keluarga,” katanya berhenti sekejap menenun memandang tepat ke wajah saya. Di dalam kantung hati saya tersimpan rasa hiba, penuh keinsafan betapa dalam hidup kita tetap tidak boleh menidakkan undang-undang. Ingatlah wahai anak muda, jangan terlibat jenayah.
“Seronok sekejap, derita berpanjangan. Saya di sini masih lama, agak lama. Saya akui di sini memberi kesan mendalam untuk berubah. Banyak pengalaman dan ilmu selain latihan kemahiran macam menenun. Bukan senang hendak menenun, benangnya kena terletak, kalau serong sikit hasilnya tak jadi,” katanya.
Melalui tenunan, dia banyak belajar erti kesabaran kerana sebelum ini dia panas baran.
“Sekarang saya faham erti sabar. Saya bersyukur masih berpeluang memperbetulkan kesilapan selain diberikan kesempatan untuk berubah menjadi lebih baik. Di sini, kami dibekalkan ilmu agama yang cukup.
“Di puncak, saya kenal erti Tuhan yang satu. Saya kenal erti dosa dan pahala. Saya tidak sangka penjara tempat yang paling tenang dan menginsafkan,” katanya. Pintanya, agar masyarakat menerima mereka dengan lapang dada serta percaya, bahawa mereka benar-benar sudah berubah.
Saya memandangnya, berbaju biru sama seperti rakan-rakan yang lain. Hidayah Allah itu luas, apabila disarung baju biru itu, baru mereka kenal Tuhan. Banyak lagi yang ingin saya kongsikan namun keadaan tidak mengizinkan. Tanpa sedar, tiga jam kami di sini dan 1001 pengajaran, rasa hiba dan pedoman kami peroleh. Ketika kereta kami menyusur keluar pagar, saya menoleh sekali lagi puncak yang menyimpan suka duka, keinsafan serta sisi hitam yang lama mereka tinggalkan.
Saya bertuah kerana menjadi catatan sejarah kecil, bertemu dengan mereka di dalam sana!