ARTIKEL

Kredit: Bernama

Di sebalik tabir Piala Dunia 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CURACAO dan Cape Verde, antara negara kecil yang menyertai majlis undian rasmi kejohanan bola sepak paling berprestij, Piala Dunia 2026 di Washington awal pagi Sabtu lalu (waktu Malaysia), yang turut dihadiri ‘bos besar’ Amerika Syarikat, Donald Trump.

Mereka adalah negara pertama kali layak, setelah pertandingan memasuki edisi ke-23, yang berusia 96 tahun sejak diperkenal pada 1930 di Uruguay.

Curacao yang hanya mempunyai sekitar 185,000 penduduk diundi dalam Kumpulan E, bersama juara empat kali, Jerman, serta Ecuador dan Ivory Coast — dua negara yang terkenal dengan sukan ini.

Manakala Cape Verde yang mempunyai 528,000 penduduk akan menentang dua juara, Sepanyol dan Uruguay, serta Arab Saudi dalam Kumpulan H.

Di atas kertas, ramai yang meramal kedua-dua pasukan kerdil ini akan tersingkir awal, sekali gus sebagai pelengkap 48 pasukan.

Tetapi ramai yang tidak sedar, bagaimana mereka boleh layak sejauh ini.

Mereka bukan negara bola sepak tegar seperti Brazil, Argentina dan England, tetapi keinginan dan semangat juang mereka sangat luar biasa.

Jurulatih berpengalaman, Dick Advocaat, 78, menyifatkan kejayaan membawa Curacao ke Piala Dunia 2026 sebagai pencapaian ‘paling gila’ dalam kariernya.

“Inilah detik terindah yang pernah saya alami, tetapi ia seolaholah menafikan banyak kenangan lain,” ujar Advocaat.

Negara pulau kecil di Caribbean itu, merupakan wilayah pemerintahan sendiri di bawah Belanda

. “Ia pencapaian ‘paling gila’ pernah saya capai sebagai jurulatih.

Sesuatu yang sangat bermakna buat pulau itu serta pemain yang datang dari serata tempat,” katanya.

Digelar sebagai Little General, Advocaat pernah mengemudi lapan pasukan kebangsaan, termasuk membawa Belanda ke separuh akhir Euro 2004 dan suku akhir Piala Dunia 1994.

Beliau bakal tampil sebagai jurulatih tertua dalam sejarah Piala Dunia.

Sementara itu, negara Haiti, turut melakar sejarah, layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam tempoh 52 tahun selepas penampilan sulung pada 1974.

Realitinya, mereka terpaksa menempuhi semua perlawanan di luar negara, ekoran kumpulan bersenjata menguasai hampir seluruh ibu kota, Port-au-Prince, dalam konflik yang memaksa sekitar 1.3 juta penduduk meninggalkan rumah serta mencetuskan kelaparan serius.

“Ia sesuatu yang menakjubkan apabila selepas 52 tahun, Haiti kembali layak ke pentas bola sepak terbesar dunia,” kata jurulatih Haiti, Sebastien Migne.

Hanya ratusan penyokong yang hadir menyaksikan detik bersejarah itu.

Pada sidang media Migne hanya dihadiri seorang wartawan di dalam dewan yang kosong.

“Kesepaduan pasukan dan ketahanan mental menjadi faktor utama di sebalik kejayaan luar biasa Haiti layak ke Piala Dunia,” ujarnya.

Haiti diundi dalam Kumpulan C bersama juara lima kali, Brazil, Maghribi dan Scotland.

Buat pertama kali, tiga negara akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026.

Ia adalah kali pertama bagi Kanada terlibat dalam penganjuran mega, berbanding Mexico sudah pun dua kali (1970 dan 1986), manakala Amerika Syarikat, sekali pada 1994.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan penjualan tiket Piala Dunia 2026 akan menggunakan kaedah harga dinamik, dengan tempat duduk peringkat kumpulan bermula pada harga AS$60 (RM283).

Fasa pertama jualan tiket akan bermula pada 10 September sehingga 19 September lalu menerusi cabutan prajualan khas Visa, terbuka kepada pemegang kad Visa terpilih.

Harga tiket akan berbeza mengikut permintaan pasaran, dengan tiket untuk perlawanan akhir mencecah sehingga AS$6,730 (RM28,370), harga termahal dalam sejarah.

Sekitar sejuta tiket disediakan untuk fasa prajualan pertama ini.

Kaedah ini sama seperti sistem harga dinamik bagi tiket penerbangan dan kadar bilik hotel pada musim cuti.

Bagaimana pula waktu perlawanan siaran langsung untuk peminat di Malaysia sepanjang sebulan lebih, mulai 11 Jun hingga 18 Julai?

Yang pasti, Amerika Syarikat, lambat 11 hingga 14 jam, berbanding Malaysia.

Manakala Mexico lambat sekitar 13 hingga 14 jam, dan Kanada lambat 13 hingga 16 jam.

Ia bermakna ada perlawanan seawal 1 pagi waktu Malaysia, dan ada juga 3.00 pagi, 4.00 pagi… malah ada juga 6.00 pagi, 7.00 pagi, 9.00 pagi, 10.00 pagi dan 12.00 tengah hari.

Pasti ada yang bercuti ketika Piala Dunia nanti, kerana ada perlawanan berlangsung pada waktu pejabat.

Ketika pertama kali menonton Piala Dunia 1986 (Mexico) di kaca televisyen, saya dan rakan-rakan yang berada di Tingkatan Tiga ketika itu pernah balik rumah ketika rehat di sekolah, semata-mata untuk menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan England, Argentina dan Brazil

. Malah kami akhirnya menerima hukuman daripada guru, kerana ponteng selepas rehat.

Hakikatnya, ketika itu, Piala Dunia benar-benar menggegar, terutama aksi suku akhir yang membabitkan England dan Argentina.

Argentina menang 2-1, hasil dua jaringan Diego Maradona yang hanya berketinggian 5 kaki 5 inci.

Salah satu daripadanya melalui ‘tangan ajaib’ dan satu lagi gol terbaik sepanjang zaman, selepas menggelecek tujuh pemain England.

Ketika itu juga Argentina muncul juara selepas mengalahkan Jerman Barat 3-2 pada aksi final epik yang dikenang hingga kini.

Yang pasti, dalam setiap edisi Piala Dunia, kecuali pada 1994, juara 1966, England sentiasa menjadi sebutan.

Namun seperti biasa, mereka tidak pernah mara sejauh final, paling jauh pun separuh akhir, pada 2018 dan 1990. Bagaimana pula kali ini?

Pengambilan pengendali dari Jerman, Thomas Tuchel adalah antara langkah untuk mengakhiri badi penantian 60 tahun, sejak 1966, setelah Gareth Southgate gagal dalam dua percubaan, pada 2018 dan 2022.

Kali ini, mereka mencatat rekod bersih dalam kempen kelayakan, menang semua lapan perlawanan, dengan 22 ledakan jaringan, tanpa bolos.

Mereka diundi dalam Kumpulan L bersama, musuh terkini, Croatia serta Ghana dan Panama.

Tuchel berpendapat, ia merupakan kumpulan yang sukar, lebih-lebih lagi apabila bertemu Croatia. Malah Ghana turut memberi ancaman.

Namun kerisauan utama Tuchel ialah berkenaan barisan pemain England.

Katanya, sekitar 65 hingga 70 peratus pemain utama England adalah pemain simpanan dalam kelab masing-masing.

“Hanya sekitar 30 hingga 35 peratus pemain utama kami beraksi dalam pasukan utama kelab… itu yang merisaukan saya,” tegas Tuchel.

Adakah ia petunjuk England akan gagal lagi kali ini?

Hakikatnya, Piala Dunia tidak pernah dijuarai pasukan bukan pilihan, sejak kali terakhir Uruguay memenanginya pada 1950.

Selepas itu, hanya kuasa besar yang menang, seperti Brazil, Jerman Barat, Argentina, Itali, England, Sepanyol dan Perancis.

Ada pemerhati yang meramalkan Portugal akan tampil sebagai pasukan baharu memenangi Piala Dunia 2026.

Mampukah Cristiano Ronaldo yang akan berusia 41 tahun melakar rekod yang lebih hebat lagi.

Atau adakah Piala Dunia 2026 akan berpihak kepada Brazil atau Argentina, kerana kedua-dua negara besar ini menjuarainya pada 1986 (Argentina) ketika kejohanan berlangsung di Mexico dan 1994 (Brazil) di Amerika Syarikat.

BERITA LAIN

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i