SEREMBAN: Ketika penggemar durian berpusu-pusu menikmati sepuas hati durian musang king, black thorn dan D24 akibat kejatuhan harga, masih ada yang menunggu ketibaan durian bukit di pasaran.
Mempunyai rasa unik seperti sedikit pahit, manis atau berlemak, durian bukit ini juga menjadi sumber pendapatan sampingan masyarakat Orang Asli suku Temuan di Kampung Asli Sebir Labu yang mengutip hasil dari kebun warisan turun-temurun.
“Sebatang pokok menghasilkan buah dengan pelbagai rasa, sama ada pahit, manis atau berlemak, selain mempunyai isi yang lebih pekat.
Keistimewaan ini menjadikan durian bukit antara yang sentiasa dinantikan setiap kali musim buah tiba.
“Pokok durian ini tidak menggunakan sebarang baja.
Semuanya tumbuh dan berbuah secara semula jadi, disebabkan itu durian organik yang dihasilkan mempunyai rasa asli dan sudah tentu ada peminatnya tersendiri,” kata Zurdi Baharu, antara pemilik kebun durian bukit di perkampungan itu, kepada Bernama.
Ditanam di lereng bukit yang kaya dengan kandungan mineral semula jadi, durian bukit dibiarkan bertumbuh secara alami tanpa penggunaan racun dan baja kimia.
Pokok ini juga hanya berbuah sekali dalam setahun.
“Kalau durian kahwin, kita boleh jumpa di pasaran hampir sepanjang tahun, tetapi durian bukit ini cuma sekali dalam setahun,” tambahnya.
Berkongsi lanjut, Zurdi, 44, berkata setiap pokok durian tersebut juga mempunyai nama yang hanya diketahui oleh masyarakat Orang Asli, antaranya “Habuk”, “Mata Kucing”, “Pasir”, “Pucong” dan “Batu”, yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Dia yang memiliki lebih 50 batang pokok, berkata pada musim durian, rutinnya bermula seawal 7 pagi.
“Saya akan ke dusun awal pagi dan mengutip buah yang gugur pada sebelah malamnya.
Sehari saya dapat kutip dalam 200 biji.
Kemudian saya jual buah itu kepada peraih dengan harga RM2 satu kilogram,” jelasnya.
Zurdi berkata walaupun harga durian kahwin pada musim ini lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, permintaan terhadap durian bukit masih menggalakkan kerana buah itu mempunyai kelompok penggemarnya yang tersendiri.
Sementara itu penggemar durian bukit Rosli Ali, 48, berkata durian bukit mempunyai rasa tersendiri dan sukar ditandingi durian kacukan.
Rosli berkata selain harga yang lebih murah, durian bukit mempunyai isi yang enak dan lebih bertekstur berbanding durian kahwin.
“Apabila musim durian, saya akan mencari durian bukit.
Kalau nasib baik dapat yang berisi kuning, rasanya sudah tentu sedap.
Tak perlu beli durian mahal-mahal kerana rasa durian bukit ini sudah merangkumi durian lain,” katanya. — Bernama





