Dianggarkan 10,000 akan meriahkan sambutan Hari Sarawak 2019 Isnin ini

BINTULU:  Anggaran lapan ribu hingga sepuluh ribu orang dijangka membanjiri tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini untuk sama-sama memeriah serta menyaksikan sambutan Hari Sarawak 2019, Isnin ini.

Ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menganjurkan Hari Sarawak di luar kawasan Kuching dan memilih Bintulu sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Menteri Utiliti Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata beliau amat menghargai pemilihan Bintulu sebagai tuan rumah penganjuran hari bersejarah itu sekali gus berharap warga Bintulu akan keluar bersama-ramai untuk meraikan sambutan(Hari Sarawak).

Beliau berkata sambutan kali ini turut membabitkan penglibatan golongan muda termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Bintulu bagi memberi peluang kepada mereka melakar serta merakamkan sambutan hari bersejarah negeri ini.

Apa yang menarik, buat pertama kalinya Sukan E-sport seperti FIFA 19 dan Mobile Legend juga turut diadakan khas untuk generasi muda selama tiga hari berturut-turut bertempat di Naim Street Mall, Paragon, katanya ketika ditemui usai meninjau raptai penuh dan persiapan terakhir sambutan Hari Sarawak 2019 di tapak Lapangan Terbang Lama, di sini.

Aktiviti-aktiviti lain adalah seperti Sarawak Day Run, Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin, Konsert Kamek Sayang menampilkan artis-artis tempatan dan Pameran Hari Sarawak bermula 22-28 Julai yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, ujarnya lagi.

Rundi yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan memberitahu perhimpunan Hari Sarawak pada 22 Julai ini bertempat di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu akan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg yang juga turut dihadiri dif-dif kenamaan yang lain.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga Sarawak yang berdekatan untuk datang dan menyertai aktiviti yang dianjurkan bagi memeriahkan lagi Hari Sarawak sebagai tanda penghormatan kepada hari bersejarah tersebut.