Dicekup sedang lalok

KUCHING: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun antara tiga wanita yang ditahan bersama tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka ditahan di dalam sebuah bilik, semasa serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan (BSJND Padawan) ke atas sebuah rumah di Sung Hock, Batu 10 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 8 malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut juga menjumpai dadah jenis syabu seberat 61 gram yang dianggarkan bernilai RM9,000.

“Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke pejabat BSJND Padawan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah kesemua suspek yang berusia 18 hingga 44 tahun itu juga didapati positif dadah jenis syabu dan amfetamin.

Hasnir berkata mereka kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Justeru, Hasnir berkata amat menghargai dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang kegiatan penyalahgunaan dadah kepada polis.

Dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Sung Hock, Batu 10 Jalan Kuching-Serian semalam.

Suara Sarawak