KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan mengugut hendak membakar rumah milik lelaki berusia 54 tahun.
Tertuduh Mohd Asrul Hosen, 24, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang rakannya telah melakukan ugutan jenayah terbabit di hadapan sebuah rumah di Taman Anib Lorong Cenderawasih, Samariang, kira-kira jam 10.50 malam, 11 Jun lalu.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan pemilik rumah ternampak tiga orang lelaki menyelitkan sekeping kertas A4 di pintu pagar serta melilitkan rantai besi bersama mangga.
Pengadu mendapati kertas terbabit tertulis ayat ugutan jenayah hendak membakar rumah sekiranya anak pengadu tidak menjelaskan hutang.
Namun demikian, anak pengadu telah menyelesaikan hutang tersebut dan resit pembayaran hutang masih disimpan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam kes yang sama, Majistret Zubaidah menetapkan pendengaran laporan sosial terhadap seorang tertuduh berusia 19 tahun yang merupakan pesalah muda pada 28 Julai depan.
Selain itu, salah seorang pesalah dalam kes terbabit gagal ditemui dan masih bebas di luar.