KUCHING: Padah menjual loteri awam tanpa lesen, seorang lelaki tempatan didenda RM1,500 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Peter Lanie, 28, dari Samariang selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjual tiket loteri awam tanpa lesen dalam sebuah kafe di Stutong, sekitar jam 3.55 petang, 24 Mac lepas.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga lima RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah mengadakan satu serbuan di sebuah kafe kerana dipercayai terdapat aktiviti judi awam tanpa lesen.
Hasil pemeriksaan, berjaya menahan seorang lelaki bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk menjual tiket loteri tersebut termasuk wang tunai berjumlah RM50 .
Siasatan lanjut dan laporan pakar judi mengesahkan telefon bimbit milik tertuduh mempunyai angka-angka loteri awam haram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.