KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menjalankan operasi pusat hiburan tanpa lesen di sebuah pusat komersial di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Kong Sze Siew, 28, bekerja sebagai penjaga premis berkenaan mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 5 (1) Ordinan Hiburan 2000 yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat komersial di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, sekitar jam 12.10 tengah malam, 9 September lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching kerana dipercayai menjalankan pusat hiburan tanpa lesen pihak berkuasa tempatan.
Hasil pemeriksaan, pihak polis menahan seorang wanita tempatan yang merupakan penjaga premis kerana gagal menunjukan lesen perniagaan pusat hiburan yang sah.
Hasil semakan daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) mengesahkan premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.