Didik kanak-kanak dengan kemahiran profesional

KUCHING: Mana-mana individu yang ingin menjalankan aktiviti perniagaan atau pengurusan berkaitan penjagaan kanak-kanak mesti mempunyai kelayakan profesional dengan mengikuti Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang ditawarkan Kolej Sidma Sarawak dapat membantu individu yang mahu bergiat dalam bidang ini.

“Semua kursus yang ditawarkan pada peringkat Diploma berbeza dan tidak ditawarkan seperti di insititusi pengajian tinggi yang ada kerana di kolej ini mereka menerapkan semua Kursus Asas Permata (Kap),” katanya sewaktu menerima kunjungan hormat oleh pihak Kolej Sidma Sarawak di pejabatnya semalam.

“Kap ialah kursus wajib yang mesti diambil oleh penyelia, pengusaha atau pengasuh Taska, dan ia ialah salah satu syarat bagi memastikan mana-mana Taska dapat didaftarkan, kerana ia diiktiraf Jabatan Kebajikan Masyarkat.

“Yuran bagi program ini ialah RM13,500 bagi tempoh dua tahun setengah dan apabila bergraduat mereka akan dianugerahkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak,” ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan lepasan sekolah yang berkelayakan dan yang berminat dalam bidang ini, serta individu yang mengusahakan pusat penjagaan kanak-kanak supaya memohon.

“Apabila anda terlibat dengan penjagaan kanak-kanak terutama pada peringkat bayi ia adalah perkara yang ideal bagi mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang betul termasuk sikap yang cenderung untuk mengajar dan mendidik kanak-kanak,” katanya.

“Seorang pengasuh perlu mempunyai sikap penyayang yang tinggi terhadap kanak-kanak, selain mempunyai ilmu yang betul sepanjang menjaga kanak-kanak ini,” tegasnya.

Tambah Fatimah lagi, perkara tersebut merupakan salah satu daripada usaha kementerian untuk meningkatkan kualiti pengasuhan pendidikan awal kanak-kanak dan daripada survei yang dijalankan pihaknya mendapati ada pengasuh dan guru yang tidak mempunyai kelayakan yang sepatutnya.

“Oleh itu, kita juga akan melihat bagaimana cara kita dapat membantu guru atau pengasuh terbabit supaya mendapatkan kelayakan menerusi beberapa agensi yang ada bagi mendapat pensijilan yang sewajarnya,”ujarnya.