Didikan yang seimbang untuk anak-anak

LIMBANG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Seri Patiambun menganjurkan program ceramah keibubapaan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa dalam membentuk anak-anak.

Program ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 400 hadirin yang terdiri daripada ibu bapa pelajar dan masyarakat setempat memenuhi dewan sekolah tersebut, semalam.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, ‘masa’ dari ibu bapa menjadi kunci utama dalam memastikan kecemerlangan seseorang anak-anak.

Ujarnya, ibu bapa perlu bijak membahagikan masa untuk diluangkan bersama-sama dengan anak-anak.

“Walau sibuk macam mana pun kita, pastikan ada masa bersama-sama anak.

“Berikan kasih sayang secukupnya kepada mereka,” katanya semasa menyampaikan ceramah slot pertama di program tersebut.

Hasbi turut menekankan agar ibu bapa memberi didikan yang seimbang.

“Penting untuk memastikan keseimbangan pendidikan sama ada dari segi pendidikan ilmu pengetahuan termasuklah moral agama.

“Jika ianya dapat diseimbangkan, nescaya akan dapat melahirkan anak yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara satu hari nanti,” ujarnya.

Hadir sama Pengetua SMK Seri Patiambun Ahmad Melan dan Yang diPertua PIBG Imban Geruna.