DidikTV mampu bantu selesaikan masalah PdPR – PIBGN

KUALA LUMPUR: Saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM sedikit sebanyak membantu menyelesaikan beban dan permasalahan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini termasuk isu kekangan peralatan peranti elektronik dan capaian Internet yang dihadapi pelajar terutama di luar bandar.

“Meskipun ia agak lambat dilaksanakan yang sepatutnya lebih awal lagi, namun akhirnya ia nanti boleh dimanfaatkan oleh rakyat sebagai bantuan kepada PdPR dan pendidikan secara menyeluruh.

“Perancangan untuk Perdana Menteri menyempurnakan pelancaran saluran itu pada hari pertama siarannya juga menunjukkan satu petanda bahawa negara begitu prihatin terhadap pendidikan,” katanya dalam panggilan video secara langsung di Buletin Bernama, yang disiarkan Bernama TV di sini hari ini.

Beliau berkata dengan adanya DidikTV KPM, pendidikan yang berkualiti dan bermutu tinggi dapat dicapai oleh semua rakyat negara ini, tanpa berlakunya keciciran terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

Namun katanya, penggunaan saluran pendidikan sebagai medium sokongan pembelajaran tidak seharusnya hanya ketika negara berhadapan pandemik, tetapi untuk jangka masa panjang, sebagaimana negara luar.

“Selepas pandemik COVID-19 ini berlalu, kita boleh manfaatkan sebaik-baiknya DidikTV KPM ini sepertimana TV pendidikan di United Kingdom, Amerika Syarikat, German, Jepun dan Korea…patut kita contohi dan manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Ali turut menyarankan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan agar mengkaji dan memperhalusi kembali kerelevanan DidikTV KPM disiarkan sehingga lewat malam.

“Kenapa perlu menyalurkan siaran sampai pukul 12 tengah malam? Saya kira anak-anak perlu berehat… seharusnya sampai pukul 10 malam sudah mencukupi.

“Dalam masa sama, penjadualan perlu diperhalusi dan pertindihan patut dielakkan dengan mengambil perhatian terhadap pemasalahan yang dihadapi keluarga yang mempunyai ramai anak yang perlu belajar, maka ia perlu diambil kira dalam jadual itu,” katanya.

DidikTV KPM yang akan bermula 17 Feb ini, boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.