DiGi sedia dua tawaran khas program Jaringan Prihatin

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd mengumumkan dua tawaran khas untuk rakyat yang layak bagi Program Jaringan Prihatin, termasuk pelanggan baharu dan sedia ada bagi memastikan mereka terus berhubung.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Digi berkata mereka terbabit adalah penerima skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang boleh memilih rebat RM180 bagi pelan prabayar dan pascabayar atau subsidi peranti bernilai RM300.

Pelanggan sedia ada dan baharu Digi boleh memilih untuk menggunakan rebat bulanan RM15 tersebut dan tambahan data harian dua gigabit (GB) sehingga tempoh setahun.

Selain itu, rakyat yang berkeluarga dan layak dan memilih pelan subsidi, akan menerima subsidi RM300 bagi kelengkapan telefon pintar atau tablet 4G untuk kegunaan anak-anak mereka yang bersekolah.

“Bagi menyokong objektif kerajaan, Digi menawarkan pakej telefon pintar istimewa untuk pelanggan prabayar dan pascabayar,” katanya.

Menurut Digi, pelanggan sedia ada yang layak digalakkan mendaftar bagi program ini dalam tempoh tiga bulan yang akan berakhir pada 31 Julai 2021.

“Tawaran ini juga terbuka bagi bukan pelanggan Digi yang memilih sama ada beralih kepada Digi atau melanggan nombor telefon bimbit Digi yang baharu,” katanya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion dalam usaha kerajaan menangani cabaran jurang digital.

Menurut Muhyiddin, program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar Internet.

 

Suara Sarawak